KL dijangka terima lebih banyak hujan, ini senarai 15 kawasan berisiko banjir

Kuala Lumpur dijangka berdepan lonjakan keamatan hujan di beberapa lokasi, dengan kadar curahan mencecah sehingga 120 milimeter sejam.

Ia susulan peralihan monsun yang membawa taburan hujan lebih tinggi daripada paras biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebagai langkah mitigasi banjir, pihaknya telah mengenal pasti 15 kawasan berisiko banjir di Kuala Lumpur.

Menurutnya, beberapa tindakan termasuk pemasangan siren amaran yang akan diaktifkan apabila paras air mencapai tahap tertentu dilaksanakan sebagai peringatan awal kepada penduduk supaya mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Kadar biasa 80mm/j tetapi tempoh hari hujan jatuh hingga 116mm/j dan kita jangkakan mungkin selepas ini ada sehingga 120mm/j.

“Hal itu kemungkinan boleh menyebabkan banjir,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee di ibu negara.

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam memantau keadaan cuaca dan berisiko banjir, petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada dalam mod bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Berikut senarai 15 kawasan berisiko banjir di Kuala Lumpur mengikut peringkat risiko berdasarkan kekerapan banjir kilat, rekod limpahan air, dan kedudukan geografi:

RISIKO SANGAT TINGGI (Sering banjir kilat / kawasan rendah utama)

1) Jalan Tun Razak (Wisma Bernama)

2) Jalan Kuching

3) Jalan Ipoh / PPR Batu Muda

4) Bulatan Pahang

5) Jalan Pudu

RISIKO TINGGI (Kerap bertakung air / banjir kilat bermusim)

6) Pekan Salak Selatan

7) Segambut / Jalan Segambut

8) Pusat Dagangan Dunia (WTC KL)

9) Jalan Ampang

10) Jalan Raja Chulan

RISIKO SEDERHANA-TINGGI (Banjir kilat sekali-sekala / ketika hujan lebat berterusan)

11) Jalan Kolam Air

12) Bulatan Dato Onn

13) Kampung Chubadak

14) Jalan Pekeliling

15) Jalan Parlimen / Jalan Tun Sambanthan (Kawasan Parlimen)

BACA JUGA 78 ADUN Sabah termasuk enam dilantik angkat sumpah