Malaysia pembeli kereta tertinggi di Asia Tenggara, memotong Thailand
Malaysia muncul sebagai pasaran kereta terbesar di Asia Tenggara buat pertama kali dalam sejarah.
Rekod tersebut sekaligus memintas Thailand berikutan peningkatan ketara dalam jualan dan pemilikan kenderaan di negara ini walaupun populasi hanya sekitar 34 juta.
Selain itu, Malaysia juga berada di tangga kedua tertinggi di Asia untuk pemilikan kereta (per 1,000 penduduk) selepas Jepun (data 2015-2020), dengan 535 kereta bagi setiap 1,000 orang, lebih tinggi daripada Thailand dan Indonesia.
Perubahan tersebut mencerminkan pertumbuhan kuat di Malaysia, mengatasi Thailand menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap automotif ASEAN.
Nikkei Asia menerusi data yang dikumpulnya berpendapat dinamik Malaysia ini mencerminkan trend baharu dalam pasaran automotif serantau.
Jenama kereta nasional, Perodua dan Proton, secara kolektif menguasai 63 peratus daripada keseluruhan jualan pada separuh pertama tahun ini sekaligus membuktikan jenama tempatan terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Model-model popular seperti Perodua Alza dan Proton Saga terus mendominasi carta jualan terlaris, bersaing sengit dengan model antarabangsa seperti Toyota Vios dan Honda City, lapor portal The Nation.
“Kejayaan ini turut disokong oleh syarikat gergasi global, iaitu Daihatsu (anak syarikat Toyota) yang menjadi rakan teknikal Perodua, dan Geely yang memegang 49.9 peratus kepentingan dalam Proton.
“Kedua-dua jenama ini dianggap sebagai pengeluar kereta nasional yang menerima sokongan tidak langsung kerajaan atas peranan mereka dalam pembangunan negara,” kata laporan itu.
Tambahnya, pasaran Malaysia turut dirancakkan oleh peningkatan populariti kenderaan elektrik (EV) dengan jualan melonjak sebanyak 91 peratus tahun ke tahun kepada 12,733 unit.
Trend peningkatan sama berlaku pada jualan kereta hibrid yang naik 12 peratus kepada 17,480 unit pada separuh pertama 2025.
BACA JUGA Desakan Mahiaddin berundur memuncak, 14 bahagian Bersatu Perak menolak