10 perkara ekonomi dan kewangan yang perlu dibuat, pulihkan keyakinan kepada kerajaan

LIM GUAN ENG

Kini krisis keyakinan terhadap kerajaan di kalangan penyokong PH yang hanya boleh dipulihkan dengan penggubalan dasar-dasar kerajaan baru yang menjaga kepentingan mereka tanpa merugikan menfaat mana-mana golongan rakyat Malaysia.

  1. Jalan Terus Menunaikan Janji Manifesto PH Pilihan Raya Ke-15

Sebagai pemegang amanah kepada pengundi, kita mesti menunaikan janji Manifesto PH Pilihan Raya Ke-15. Tidak ada jalan lain kecuali jalan terus melaksanakan janji Manifesto PH dengan segera.

  1. Memperuntukkan 10% Peruntukan Kepada Bukan Bumiputera Berbanding Dengan Peruntukan Bumi Tanpa Mengurangkan Peruntukan Bumiputera.

Memang wujud perasaan tidak puas hati bahawa peruntukan bukan bumi tidak ditambah sebaliknya berkurangan sekiranya dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi. Adalah disyorkan sejumlah 10% berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan bumiputera diberikan kepada golongan bukan bumiputera tanpa menjejaskan jumlah asal yang diperuntukkan kepada kaum bumiputera.

Tidak ada sebarang bantahan daripada masyarakat bukan bumi terhadap apa yang diperuntukkan kepada golongan bumi. Akan tetapi pemberian geran masakini sebanyak 3% kepada bukan bumi berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan bumi dalam Belanjawan ataupun RMK-15 adalah terlalu kecil.

Pemberian 10% ini jauh ketinggalan berbanding dengan komposisi penduduk bukan bumi di Malaysia sebanyak 30%. Sekiranya telahpun ditetapkan jumlah peruntukan khas untuk golongan bumi, hanya perlu tambah 10% lagi untuk golongan bukan bumi. Ini akan membantu usaha menyatupadukan dan membina negara yang boleh memastikan semua pihak dapat bahagian yang adil dan saksama.

  1. Membekukan Atau Mengkaji Semula Perluasan Skop Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) Ke atas Perniagaan Malaysia.

Peranan Perindustrian Kecil dan Sederhana(SME) dalam negara tidak boleh dinafikan dengan sumbangan 38% kepada KDNK atau GDP yang ingin dinaikkan kepada 40% menjelang 2030 dan menjanakan 48% pekerjaan negara serta hampir 13% daripada jumlah eksport Malaysia. Naik dan turun SME ada impak besar kepada ekonomi, pekerjaan dan mutu hidup sebilangan besar rakyat Malaysia.

Perluasan skop SST yang dilaksanakan pada 1 Julai 2025 telah menambahkan beban kos kepada perniagaan terutama sekali SME. Dengan pelaksanaan perang tariff oleh Amerika Syarikat adalah perlu kerajaan bantu mengurangkan kos SME. Tambahan peratusan cukai dan perluasan skop cukai SST ke atas perniagaan Malaysia harus dibekukan atau dikaji semula, khususnya sektor pembinaan, pendidikan dan sewaan.

  1. Mewajibkan Pembelian 50% Barangan Keperluan Daripada Pengeluar Tempatan, Mengenakan “SST 10% For Imported And Local Iron Ore, Metallurgical Coking Coal, Coke And Abolish SST On Steel Scrap” Demi Melindungi Industri Tempatan.

Berikutan perang tariff sedunia, impak “lambakan” barang impot murah secara besar-besaran ini berkemungkinan menghancurkan banyak pasaran dan industri tempatan. Kesannya boleh dirasai dengan banyak SME tidak menerima tempahan atau pesanan perniagaan.

Masalah kurang perniagaan menjadi lebih rumit bila pelabur dan kontraktor yang berjaya dapat kerja atau projek dalam negara mendapat sumber barangan keperluan daripada negara yang menawarkan harga murah sehingga bawah kos pengeluaran. Oleh itu, adalah perlu arahan pembelian sekurang-kurangnya 50% barangan keperluan dari pengeluar tempatan diwajibkan untuk semua pelabur dan kontraktor.

Di samping itu, ada pelabur dari negara tertentu telah berjaya menggunakan status pengecualian cukai yang diberikan selama 15 tahun untuk menakluki dan menguasai industri keluli tempatan yang bernilai RM 65 bilion setahun. Penguasaan 85% pasaran tempatan oleh syarikat asing adalah bersandarkan semata-mata menfaat pengecualian cukai 15 tahun yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini. Kini hanya tinggal dua syarikat keluli Malaysia sahaja.

Demi melindungi kepentingan tempatan, adalah perlu pengenaan cukai SST dikenakan untuk memastikan “level playing field” di antara pesaing asing dan tempatan industri keluli dengan mengenakan “SST 10% For Imported And Local Iron Ore, Metallurgical Coking Coal, Coke And Abolish SST On Steel Scrap”. Di samping itu, cukai SST tersebut boleh menggalakkan penggunaan proses yang mesra alam sekitar dan bukan sebaliknya dalam industri keluli tempatan.

  1. Memperuntukkan RM 20 Bilion Bayaran Cukai Tertunggak Pada Bulan Januari 2026.

Keputusan YAB menaikkan bayaran balik cukai tertunggak daripada RM 2 bilion kepada RM4 bilion bagi bulan Disember 2025 adalah dialu-alukan. Akan tetapi ia masih belum mencukupi. Ini adalah kerana masalah bayaran cukai tertunggak adalah dalam lingkungan beberapa pulohan bilion ringgit.

Adalah perlu ia dibereskan secepat mungkin kerana dari segi moral, etika dan perundangan status cukai tersebut bukanlah milik kerajaan tetapi milikan pembayar cukai. Adalah disyorkan RM20 bilion diperuntukkan untuk bayaran balik cukai syarikat tertunggak pada bulan Januari 2026.

Ini bukan sahaja dapat memulangkan wang cukai kepada pemilik sahihnya tetapi juga akan memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina 2026 dengan membolehkan syarikat membereskan hutang dan memberikan bayaran ang pow kepada pekerja-pekerja mereka.

  1. Membekukan Caruman 2% KWSP Untuk Pekerja Asing Dan Tidak Kenakan Cukai 2% Pendapatan Dividen Yang Melebihi RM 100,000 Ke atas Syarikat Yang Bukan Syarikat Bursa Malaysia.

Caruman 2% KWSP masing-masing oleh pekerja asing dan majikannya mulai Oktober 2025 amat membebankan dan harus dihentikan. Cukai 2% pendapatan dividen yang melebihi RM 100,000 harus dikenakan ke atas syarikat Bursa Malaysia sahaja tidak ke atas syarikat bukan Bursa Malaysia atau perniagaan rakan kongsi.

  1. Memansuhkan Penalti RM10,000 Di Bawah Seksyen 45F Rang Undang-undang Pindaan Sistem Insurans Pekerjaan(SIP) Dalam Dewan Negara.

Pindaan Fasal 45F SIP yang mengenakan penalti RM 10,000 ke atas kegagalan majikan memaklumkan kepada PERKESO sebarang kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu amat membebankan majikan. Fasal penalti ini harus dimansuhkan apabila SIP ini dibahaskan di Dewan Negara.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Disember 2025, PERKESO cuba meredakan kemarahan majikan dengan moratorium penguatkuasaan selama 2 tahun dan menjaminkan penguatkuasaan penalti sebanyak RM 10,000 hanya akan dilaksanakan selepas sesi libat urus dijalankan dengan wakil majikan dan pihak berkepentingan. Moratorium 2 tahun ini tidak bermakna kerana akhirnya penalti RM10,000 akan dikuatkuasakan juga.

Lagipun, kenyataan PERKESO ini mengejutkan kerana tanggapan selama ini ialah semua libat urus dengan pemegang taruh telah pun diadakan sebelum ia dibentangkan dan diluluskan dalam Majlis Dewan Rakyat. Ini ialah pengakuan bahawa PERKESO tidak menjalankan libat urus dengan pihak berkepentingan seperti mana yang diwajibkan.

Ini menimbulkan pertanyaan mengapa sesi libat urus dijalankan oleh PERKESO hanya selepas SIP diluluskan oleh Dewan Rakyat dan bukan sebelumnya? Ini mencemarkan proses kelulusan SIP dan harus dibetulkan dengan mengecualikan pelaksanaannya ke atas SME dan sekiranya penalti masih mahu dikenakan ke atas syarikat bukan SME, penalti RM 10,000 harus dikurangkan kepada RM 100 sahaja.

  1. Tuntutan 40% Hasil Sabah Mesti Diselesaikan Dalam Masa Singkat Dan Hak Sarawak Mesti Terus Dijaga.

Kemusykilan isu tuntutan 40% hasil Sabah merupakan salah satu isu utama dalam Pilihan Raya Negeri Sabah. Isu ini mesti diselesaikan dan bayaran balik wang dijalankan dalam masa singkat agar tidak dilihat sebagai sengaja dilengah-lengahkan oleh kerajaan persekutuan. Hak negeri Sarawak juga mesti terus dijaga.

  1. Mengkaji Mengecualikan SME Daripada E-Invoicing Sementara Menaikkan Nilai Ambang Kepada Hasil Tahunan Perniagaan Sebanyak RM 5 Juta.

Tuntutan rakyat ialah mengecualikan SME daripada pelaksanaan e-invoicing dan semasa kajian dijalankan, langkah sementara ialah menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM 5 juta. Ini harus disegerakan kerana peraturan e-invoicing akan dikuatkuasakan untuk hasil tahunan perniagaan antara RM 1 juta ke RM 5 juta mulai 1 Januari 2026.

  1. Tribunal Pembayar Cukai Khas Bagi Individu Dan SME

Pembayar cukai individu dan SME sering membuat aduan bahawa mereka ditekan oleh penilaian taksiran yang tidak munasabah oleh Lembaga Hasil dalam Negeri(LHDN). Mereka rasa tidak bermaya kerana tidak mampu melawan LHDN dengan kos guaman yang begitu tinggi.

Sungguhpun usaha LHDN untuk menambahkan hasil untuk negara memang dihargai, ia perlu juga diseimbangkan dengan tindakan munasabah agar tidak berlakunya akaun bank dibekukan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh itu suatu Tribunal Pembayar Cukai Individu dan SME serupa Tribunal Pengguna harus ditubuhkan untuk memastikan rule of law dan keadilan diberikan kepada semua pihak.


LIM GUAN ENG ialah MP Bagan dan penasihat DAP. Ini ialah sebahagian daripada surat terbuka beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.