Howard jawab Akmal Saleh, boleh beza pandangan tetapi fakta kena betul

Pertikaian terhadap isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus berlarutan selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendakwa UEC tidak menepati tiga syarat diperlukan untuk diiktiraf.

Selepas serangannya disasarkan kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, hari ini Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), Howard Lee Chuan How tampil menegur Pemuda UMNO itu kerana lari dari fakta sebenar.

Howard berkata, Akmal mungkin tidak tahu bahawa para pelajar yang mengambil UEC juga sebenarnya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau membuat perbandingan, jika dibandingkan dengan A-Levels (Advanced Levels), Sijil IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) dan International Baccalaureate (IB), ketiga-tiga ini tidak menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara utama.

Tetapi semua itu diiktiraf dan dibenarkan beroperasi di dalam Malaysia termasuklah menerima kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“A-Levels bukannya guna bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pun. IB tak ikut kurikulum kebangsaan pun. IGCSE tak duduki peperiksaan SPM atau STPM pun. 

“Kalau ikut logik Akmal yang tak berapa logik tu, semua ini patut ditolak dan tak diiktiraf IPTA atau IPTS.

“Tapi dia tak berani sebut. Kenapa? Logiknya sendiri tak konsisten dan sebenarnya salah. Jadi persoalannya bukan pasal dasar pendidikan negara pun bagi dia, persoalannya adalah siapa yang mahu dia serang dan kenapa dia mahu serang,” soalnya.

Beliau turut bertanya kepada Akmal, jika UEC tidak selaras dengan dasar pendidikan negara, maka adakah A-Levels, IB dan IGCSE ini selaras dengan kurikulum kebangsaan.

“Yang paling pelik bin ajaib adalah Datuk Seri Najib Razak dulu waktu jadi PM dan beberapa orang pemimpin parti Akmal sendiri termasuk sekarang yang ada dalam Kabinet, pernah menjanjikan pengiktirafan UEC menjelang pilihan raya 

“Mereka juga tak faham dasar pendidikan negara ke saudara Akmal. Saudara suruh saya tengok cermin, udahlah saya tengok cermin. 

“Berapa kali dah, sekarang giliran saudara tanyalah diri sendiri. Adakah saudara benar-benar pertahankan dasar pendidikan negara saudara cuma pertahankan prejudis diri sendiri,” ujarnya.

BACA JUGA Ringgit lonjak paling tinggi, kini cecah RM4.10 berbanding USD