Isu ejen pemungut: Soalan buat menteri
Senator Datuk Sivaraj Chandran menyoal bagaimana ejen pemungut dibayar, memandangkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke belum menjelaskan perkara ini.
“Sebuah syarikat swasta tidak beroperasi tanpa pulangan. Mereka bukan pertubuhan sukarela. Mereka tidak melabur masa, tenaga, modal dan infrastruktur hanya untuk menjadi “pembantu percuma” kepada kementerian.
“Jadi, apabila Menteri Pengangkutan mengatakan ejen pemungut tidak menerima komisen, persoalannya tetap sama: dari mana datangnya keuntungan mereka?
“Jika JPJ tidak membayar mereka, dan kementerian tidak menyalurkan sebarang komisen, maka logiknya hanya tinggal satu sumber sahaja, rakyat. Dan di sinilah titik kegusaran yang Menteri Pengangkutan masih tidak berani sentuh.
Turut dipersoalkan ialah mengapa fungsi kutipan diberikan kepada pihak luar dalam keadaan system MyJPJ sudah sedia ada untuk tujuan sama.
“Apabila sebuah syarikat swasta diberi akses mengutip wang awam, rakyat berhak tahu sama ada mereka dikenakan caj tambahan, siapa yang menetapkan caj itu, dan mengapa Kementerian Pengangkutan begitu bermurah hati menyerahkan sebahagian fungsi kutipan kepada pihak luar sedangkan sistem seperti MyJPJ sudah tersedia.”
Beliau menambah bahawa fungsi kerajaan yang diserahkan kepada pihak swasta hanya meningkatkan kos.
“Menteri boleh menafikan apa sahaja, tetapi penafian bukan jawapan. Menafikan komisen tidak menghilangkan persoalan mengenai keuntungan tersirat. Kita telah melihat terlalu banyak contoh ketika fungsi kerajaan diserahkan kepada swasta, rakyat akhirnya membayar lebih. Apakah ini satu lagi episod yang sama?”
“Rakyat tidak meminta banyak, hanya satu penjelasan yang jujur, bagaimana ejen-ejen ini dibayar, oleh siapa, dan mengapa Kementerian Pengangkutan memilih model yang membuka ruang keraguan?
“Sehingga Menteri menjawab persoalan itu, isu ini tidak akan selesai.”
BACA JUGA: Kerajaan Pas Terengganu dulu halau KEMAS kini halau FGV