Mesir hantar 14,300 selimut, 21, 400 pakaian musim sejuk susulan hujan lebat di Gaza
Susulan hujan lebat di Semenanjung Gaza yang menjejaskan ribuan keluarga, Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) telah menghantar bekalan bantuan musim sejuk termasuk 14,300 selimut, 21,400 pakaian musim sejuk serta 15,800 khemah.
Bantuan musim sejuk itu sebahagian daripada konvoi bantuan kemanusiaan yang lebih besar membawa kira-kira 9,800 tan bahan keperluan mendesak.
Ia termasuklah sekitar 5,500 tan bakul makanan, lebih 3,600 tan barangan perubatan dan bantuan, serta lebih 700 tan produk petroleum yang diperlukan di wilayah berkenaan.
Hujan lebat kebelakangan ini membadai Gaza dan merosakkan banyak khemah perlindungan yang rapuh, sekali gus menambah penderitaan penduduknya.
“Jalan ditenggelami air dan khemah yang basah menjadikan keadaan hidup yang sudah kritikal bertambah berbahaya.
“Cuaca sejuk, keadaan sesak dan persekitaran tidak bersih meningkatkan risiko penyakit dan jangkitan,” kata Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di akaun X.
BACA JUGA Ringgit lonjak paling tinggi, kini cecah RM4.10 berbanding USD