Naim tak nak bertanding DUN Lamag tapi mereka yang bertanding perlu memenuhi syarat tertentu

Ketua Pemuda Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar telah menolak cadangan agar dirinya menjadi calon di dalam pilihan raya kecil DUN Lamag.

Beliau sebaliknya menggariskan empat syarat kelayakan untuk seseorang mewakili DUN tersebut.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Lamag yang telah menerima allahyarham ayahanda saya sebagai pejuang mereka,” katanya dalam satu hantaran Facebook semalam.

“Sejujurnya secara peribadi saya tidak berniat untuk bertanding di sini. Lamag harus dikembalikan kepada anak jati Lamag untuk diteruskan perjuangannya.

“Namun tanggungjawab saya selaku Pengarah belum selesai, kerusi Lamag perlu saya kekalkan milik Barisan Nasional. Parti perlu segera tampilkan pengganti yang layak dan berjiwa rakyat. Sebagai cadangan saya menggariskan beberapa kriteria calon yang tidak boleh dikompromi.

  1. Calon perlulah merupakan anak jati Lamag yang lahir, membesar serta menetap di Lamag.
  2. Berumur 50 tahun ke bawah kerana untuk menjalankan amanah ini perlukan kudrat yang sempurna dan calonnya perlu agresif.
  3. Mempunyai pendidikan agar dapat memimpin masyarakat di sini dengan ilmu yang tinggi
  4. Setia kepada perjuangan parti dan mempunyai kesetiaan yang tinggi seperti DSP Bung Moktar bin Radin

Pilihanraya kecil DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan perlu diadakan ekoran kematian bapa Naim, Bung Moktar.

Beliau menjadi MP Kinabatangan sejak tahun 1999.

Nama Naim merupakan antara nama yang diura-urakan sebagai calon DUN Lamag.