O-Level, GSCE guna BI tak dilayan seperti peperiksaan UEC
SYAHEERA GHAFAR
Saya naik hairan dengan kenyataan-kenyataan dikeluarkan yang betul-betul membangkang apabila DAP mengusulkan sekali lagi untuk mengiktiraf sijil peperiksaan UEC.
Sebagaimana yang kita ketahui, negara kita turut mengiktiraf sijil peperiksaan Ordinary Level (O-Level) yang dikeluarkan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) atau Pearson Edexcel serta sijil peperiksaan General Certificate of Secondary Education (GSCE), iaitu peperiksaan nasional UK.
Kedua-dua peperiksaan yang diiktiraf di Malaysia ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan jika antara isu utama UEC ditolak adalah kerana ia boleh mencetuskan masalah integrasi kaum di Malaysia kerana bahasa pengantar, mengapa O-Level dan GSCE tidak dibangkang sekuat ini?
Hakikatnya, bagi tahun ini bahasa Mandarin merupakan bahasa kedua di dunia selepas bahasa Inggeris yang paling banyak digunakan dengan jumlah 1.118 bilion orang menggunakannya sebagai bahasa pertama dan kedua dalam kehidupan seharian.
Jadi mengapa sesetengah yang membangkang UEC ingin menyekat peluang untuk anak-anak di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama meneroka peluang-peluang lain lebih besar?
Hakikatnya hari ini, ibu bapa semakin tidak melihat garis kaum tetapi kualiti pendidikan buat anak-anak.
Tahukah bahawa terdapat peningkatan ketara kemasukan pelajar-pelajar bukan Cina ke sekolah-sekolah Cina dari tahun ke tahun? Ramai ibu bapa Melayu menyumbang kepada peningkatan anak-anak Melayu kita mengukuhkan integrasi kaum di sekolah-sekolah Cina.
Tahun lepas, seorang anak Melayu berusia 17 tahun, Ahmad Kadir Ahmad Nazri merupakan pelajar paling cemerlang di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) tular.
Dan bukan seorang Ahmad Kadir sahaja yang berjaya dilahirkan dari sekolah Cina, malah lebih ramai lagi termasuk di Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang membolehkan anak-anak Melayu, Bumiputera dan India juga mengambil sijil peperiksaan UEC.
Jika trend ini menunjukkan peningkatan di tahun-tahun ke hadapan, adakah Akmal Salleh dan ahli-ahli politik lain yang hanya memikirkan kepentingan kaum sendiri saja ini, akan mula berlembut hati menerima UEC?
Zaman berubah, pemikiran dan dasar juga perlu berubah serta berkembang. Jangan kerana ahli-ahli politik yang sekarang hanya ingin menjaga kepentingan kaum sendiri saja, menidakkan peluang dan ruang lebih besar buat anak-anak tanpa mengira kaum lebih cemerlang di dalam mahupun luar negara.
SYAHEERA GHAFAR ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY.