Anak nelayan di Yan terima RM13,600 menerusi Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah

Seramai 100 anak nelayan telah menerima bantuan bernilai RM13,600 menerusi Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di Dewan Dato’ Madi, Yan Kedah pagi ini.

Bantuan peralatan sekolah bernilai RM8,600 dan setiap pelajar turut menerima wang tunai RM50.00 seorang, yang keseluruhannya berjumlah RM5,000.

Bantuan ini telah disampaikan pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil kepada anak-anak nelayan.

Program ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga nelayan, malah menjadi suntikan semangat kepada anak-anak nelayan untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin, ceria dan bersemangat.

lnisiatif ini turut memperkukuh peranan LKIM dalam memastikan kesejahteraan komuniti nelayan terus terpelihara melalui bantuan pendidikan yang memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan generasi muda.

LKIM yang ditubuhkan pada 1 November 1971 di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berfungsi untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi nelayan dan memajukan industri perikanan.