Bila media tersasul lapor PMX tolak tuntutan UEC

SYAHREDZAN JOHAN

Semalam, keluar laporan berita bahawa kononnya PMX telah menolak tuntutan untuk mengiktiraf UEC.

Saya tidak pasti media mana yang pertama terbitkan laporan dengan tajuk ini, tetapi saya sendiri baca dalam Harian Metro. Perkara yang sama juga disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Laporan-laporan ini adalah laporan mengenai komen PMX tentang isu UEC, yang dibuat selepas PMX solat Jumaat di Kedah pada hari Jumaat.

Bila saya baca, saya rasa ada tidak kena. Kerana ia terlalu keras, begitu muktamad dan tidak selari dengan pendekatan PMX sendiri dalam isu ini.

Ditambah pula, ia tidak dicerminkan dalam laporan Bernama mengenai jawapan PMX dalam kejadian yang sama.

Maka, saya dapat transkrip verbatim apa yang sebenarnya dikatakan. Dan betul apa saya syak; apa yang dilaporan tidak menggambarkan apa yang PMX sebut.

Apa yang jelas melalui transkrip itu adalah, PMX menekankan keutamaan bahasa Melayu. Kemudian, setelah ini ditekankan, bahasa lain boleh diperkasakan. PMX ingatkan mengenai Perlembagaan Persekutuan, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tetapi, PMX juga akui bahasa lain juga penting.

“Umpamanya, apakah ada keperluan penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik?”

“Jawapannya ya. Apakah keperluan mengajar Bahasa Inggeris di beberapa bidang baru

di sekolah, di universiti? Jawabnya ya.”

“Bahkan keperluan untuk tingkatkan

penggunaan bahasa Cina di beberapa kursus di universiti? Tak ada masalah, termasuk soal UEC.”

Tidak ada masalah, kata PMX dalam soal UEC.

“Berikutnya, Bahasa Arab. Kita ada Fakulti Islam, Fakulti Pengajian Islam di banyak universiti. Jadi, kita mahu supaya kursus dalam bahasa Arab juga diberikan peluang dan kesempatan. Kalau begitu, ada beberapa kuliah khas bahasa Tamil, boleh digunakan.”

Langsung tidak ada dalam kenyataan PMX bahawa UEC, atau apa-apa bahasa lain ditolak terus. Boleh tengok rakaman video jika tidak percaya.

Utusan sudah betulkan tajuk. Harian Metro dan Berita Harian, padam terus laporan yang menyimpang daripada apa yang PMX sebut.

Tetapi, “berita” asal sudah viral. Banyak media online terus ambil laporan media kononnya PMX tolak UEC. Oh My Media. Lumi News. Lain-lain lagi, termasuk media bahasa Cina.

Portal media ini tidak berada di tempat kejadian. Mereka ambil dari berita yang awal keluar. Bila berita awal keluar dipadam/dibetulkan, mereka tidak betulkan.

Maka keluarlah segala macam respons berkisar pada tajuk bahawa PMX tolak UEC.

Dalam bahasa Melayu, dikatakan PMX tegas.

Dalam bahasa Inggeris, dikatakan PMX ‘isytihar perang’ pada bukan Melayu.

Saya tidak pasti reaksi dalam bahasa Cina.

Portal seperti Lumi News sudahpun padam siaran yang mereka ambil daripada media lain mengenai “PMX tolak UEC”. Tetapi imej yang mereka jana sudah “mengembara” dan menjadi “dokumen sokongan” dalam posting menghentam PM dalam bahasa Inggeris.

Ini trend yang amat membahayakan. Apa yang PMX tidak sebut, dilaporkan sebagai kebenaran, tanpa pengesahan tentang sama ada PMX ada sebut atau tidak. Dan dalam era clickbait dan rage baiting, tajuk sensasi amat mudah untuk viral. Bukan kali pertama ini terjadi.

Anda boleh tengok semula video penuh yang ada – tidak ada satu kenyataan sekalipun di mana beliau (PMX) tolak terus UEC.

Isu ini mengundang pelbagai reaksi. Dan jika diteliti jawapan PMX, beliau cukup berhati-hati dalam memberi respons. Beliau tahu jika tidak, apa yang disebut pasti akan mengundang kemarahan komuniti A. Kalau cakap salah komuniti B pula marah.

Malangnya, lenggok bahasa dan nuansa PMX dalam menjawab perkara ini langsung hilang dalam kecelaruan laporan media.


SYAHREDZAN JOHAN ialah Ahli Parlimen Bangi dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.

BACA JUGA: Malaysia berjaya pulihkan aset negara hampir RM37.3 bilion