Mahiaddin nafi tuduhan Mahathir, takkan heret ke mahkamah
Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin menyifatkan tuduhan Tun Dr Mahathir terhadapnya sebagai tuduhan liar berbentuk sangkaan yang tidak berasas sama sekali.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular bahawa saya telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah saya.
“Ini adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.
“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
“Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau menambah bahawa Mahathir patut mendapatkan penjelasannya terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan.
“Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya. Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.”
Mahiaddin juga menyatakan bahawa beliau tidak akan mengheret Mahathir ke mahkamah kerana isu ini.
“Walau bagaimanapun saya tetap menghormati Tun Mahathir sebagai orang tua. Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab.
“Oleh yang demikan, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah.”
Semalam satu rakaman pertemuan Dr Mahathir Mohamad dengan Armada Johor dimana Mahathir mendakwa Mahiaddin mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi kerana perlu mastikan dirinya tidak ke penjara kerana telah mencuri wang parti.