Saya tahu Mahiaddin curi duit rakyat: Mahathir wajib buat laporan polis

Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai wajib membuat laporan polis segera dan menyerahkan segala bukti yang kononnya beliau miliki berikutan dakwaannya bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mencuri duit rakyat.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataannya berkata, sekiranya Mahathir terus memilih untuk berdiam diri, pihak polis dan agensi penguatkuasaan tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan wajar membuka siasatan bagi menentukan sama ada kesalahan jenayah benar-benar berlaku.

Pihak berkuasa juga perlu menyiasat sama ada wujud perbuatan menyembunyikan atau kegagalan melaporkan maklumat jenayah oleh mana-mana pihak.

Mahfuz berkata demikian berikutan dakwaan Mahathir bahawa dia tahu bahawa Mahiaddin telah mencuri wang rakyat.

Beberapa hari lepas, Mahathir mendakwa, Mahiaddin terpaksa menjadi PM untuk mengelakkan beliau dari masuk dalam (penjara).

“Dia bukan apa..dia ada masalah, dia nak jadi Perdana Menteri bukan kerana dia nak berkhidmat.

“Pasal kalau dia tak jadi Perdana Menteri ada kemungkinan dia masuk dalam..pasal dia pun curi duit…saya tahu,” kata Mahathir dalam pertemuan beliau dengan Armada Bersatu negeri Johor di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

“Duit dibagi kepada parti, dia tak bagi kepada parti dia simpan di rumah dia,” katanya lagi.

Bagi Mahfuz, undang-undang tidak boleh tunduk kepada sejarah, umur atau gelaran.

“Jika rakyat biasa boleh disiasat kerana berdiam diri, maka negarawan juga tidak terkecuali,” kata bekas Timbalan Menteri ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada tahun 2018 lalu.

Bagi Mahfuz, kenyataan Mahathir bahawa beliau “mengetahui” Mahiaddin mencuri wang parti Bersatu adalah satu dakwaan jenayah yang amat serius dan tidak boleh dibiarkan berlalu sebagai modal politik semata-mata.

“Apabila seorang bekas Perdana Menteri, pengasas dan bekas pengerusi parti menyatakan bahawa beliau tahu berlakunya kecurian, maka isu ini tidak lagi bersifat persepsi atau sentimen.

“Ia adalah persoalan jenayah, integriti dan kegagalan amanah awam,” katanya.

Bagi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu, persoalan paling asas yang gagal dijawab oleh Mahathir ialah mengapa beliau memilih untuk berdiam diri jika benar mengetahui berlakunya suatu kesalahan jenayah?

“Tun Mahathir bukan individu tanpa kuasa ketika tempoh tersebut. Beliau berada di puncak kuasa eksekutif negara, mempunyai keupayaan mengarahkan siasatan dan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Namun, tiada laporan polis dibuat, tiada siasatan diarahkan, dan tiada tindakan diambil,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, dakwaan ini hanya didedahkan selepas hubungan politik beliau dengan Muhyiddin berakhir.

“Ini menimbulkan persepsi yang amat serius bahawa dakwaan jenayah ini disimpan sebagai senjata politik, bukan dibangkitkan atas dasar menegakkan keadilan,” katanya.

Dalam negara hukum, tiada ruang untuk logik songsang seperti: “Saya tahu jenayah berlaku, tetapi saya memilih untuk diam.”

“Sikap sedemikian bukan kebijaksanaan politik, tetapi satu kegagalan moral dan institusi yang mencemar prinsip keadilan,” katanya.

BACA JUGA Pendedahan Mahathir, ingatkan umum kepada dakwaan Annuar Musa