Maulid Perdana Parlimen Pulai Perkukuh Perpaduan dan Cinta Rasulullah SAW

FOTO BERITA: Majlis Maulid Perdana Parlimen Pulai di Dewanraya Taman Bukit Indah, Jalan Changkat Indah Utama, Johor Bahru, Johor. 14hb Disember 2025 (Ahad)

Program Maulid Perdana Parlimen Pulai telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan penghayatan di Dewanraya Taman Bukit Indah, Jalan Changkat Indah Utama, di sini hari ini, sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Program yang menghimpunkan penduduk setempat serta para jemaah dari sekitar Parlimen Pulai ini bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW di samping memperkukuh perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Majlis dimulakan dengan perarakan maulid, diikuti bacaan selawat, marhaban serta qasidah yang menenangkan jiwa.

Turut diadakan adalah malamnya Forum An-Nadwah “Kasih Sayang Allah & Rasulullah” yang menekankan penghayatan sirah dan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membina masyarakat yang berakhlak mulia, saling menghormati dan berdaya saing.

Penganjuran Maulid Perdana ini juga menjadi platform mempererat hubungan antara pemimpin masyarakat, agensi setempat dan penduduk pelbagai lapisan umur. Kehadiran keluarga serta golongan belia jelas mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap program berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan.

Majlis diakhiri dengan solat maghrib berjemaah Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memupuk nilai-nilai murni dan memperkasa keharmonian masyarakat di Parlimen Pulai.



