“Saya tak tahu apa-apa” jadikan Sanusi yang garang terkedu
Usaha yang dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor untuk mengelakkan diri dari dikaitkan dengan MP Padang Serai yang didakwa rasuah benar-benarnya menyusahkan Pengarah Pilihan Raya Pas itu.
Ia menyusahkan apabila beliau dilihat cuba menipu, cuba cuci tangan bahkan cuba untuk menjauhkan diri dari Ahli Parlimen PN yang bernasib malang itu.
Bahkan Setiausaha Politik beliau, Zulkifli Yahya juga dilihat cuba membetulkan kenyataan tidak benar Sanusi bahawa kejadian rasuah itu berlaku sebelum zaman beliau menjadi MB.
Sejak itu, berduyun-duyun serangan datang kepada Sanusi sehingga beliau terkedu dan tidak terkata apa-apa lagi.
Yang terkini, musuh politiknya, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Amanah mengambil kesempatan memberikan serangan fatal kepada Sanusi.
Bagi Mahfuz, isu utama dalam kes ini adalah kenyataan berulang “Saya tak tahu apa-apa” dari Sanusi.
“Saya mengikuti kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang mendakwa beliau “tidak tahu apa-apa” mengenai dakwaan rasuah melibatkan Ahli Parlimen Padang Serai ketika menjadi Pengerusi Kedah Agro.
“Terus terang alasan itu bukan sekadar lemah, ia memalukan, menghina akal rakyat, dan boleh dianggap sebagai satu percubaan menutup kelemahan pentadbiran sendiri dengan cerita kartun,” kata Mahfuz dalam kenyataannya.
Bagi Mahfuz, Tarikh kejadian itu jelas berlaku semasa telah mengangkat sumpah sebagai MB.
“Kalau Sanusi masih keliru, itu masalah dia bukan masalah rakyat,” katanya.
Sanusi angkat sumpah MB pada 17 Mei 2020.
Perbuatan yang membawa kepada pertuduhan terhadap MP Padang Serai berlaku pada 23 Jun 2020.
“Ini bukan sebelum jadi MB. Ini SELEPAS JADI MB. Tak ada siapa pun rakyat Kedah yang ingat Sanusi jadi MB pada 2024.
“Hanya dia seorang yang buat-buat lupa. Kalau seorang MB pun tak boleh beza tarikh dia sendiri jadi MB, patutlah negeri tunggang-langgang,” kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang itu.
Menurut Mahfuz juga, MP Padang Serai yang didakwa itu juga kekal menjawat jawatan Pengerusi Kedah Agro sampai syarikat tersebut di tutup tapi Sanusi kata dia tak tahu.
“Ini bukan cerita budak intern kuat tidur. Ini pengerusi syarikat kerajaan negeri: Kedah Agro, bawah MBI.Sanusi juga selaku Pengerusi MBI.
“Bukan syarikat tepi jalan. Bukan kedai runcit belakang rumah. Pengerusi pegang jawatan sampai mesyuarat Lembaga putuskan tutup operasi.
“Dan Sanusi nak beritahu rakyat: “Saya tak tahu apa yang Pengerusi syarikat bawah saya sendiri buat.”
“Kalau betul dia tak tahu, maknanya selama ini MBI dan GLC negeri jalan sendiri tanpa MB, macam kapal tak ada kapten.
“Ini bukan alasan. Ini pengakuan dia tak layak memimpin,” kata Mahfuz melanyak Sanusi.
Bagi Mahfuz, rakyat Kedah kini mempunyai dua pilihan, samada “Sanusi tipu, atau Sanusi tak buat kerja.”
“Dua-dua pun memalukan. Tak perlu pusing jauh. Pilihan A: Dia tahu, tapi dia cuba cuci tangan. Atau
“Pilihan B: Dia memang tak pantau apa-apa. Rakyat Kedah boleh pilih sendiri mana yang mereka rasa nak yang lebih memalukan,” kata Mahfuz memberikan pandangan apa yang patut dibuat oleh rakyat Kedah kepada Sanusi ini.
BACA JUGA Saya tahu Mahiaddin curi duit, kata Mahathir