Ini cara Putrajaya tangani pertikaian isu Felda dengan kerajaan Terengganu
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Persekutuan akan menangani sebarang pertikaian yang timbul secara berhemah membabitkan isu pembayaran premium tanah antara Felda dan kerajaan Terengganu.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kepentingan dan kebajikan pihak berkaitan sentiasa terpelihara.
“Saya yakin kerjasama di antara Kerajaan Pusat melalui Felda dan FGV dengan Kerajaan Terengganu khususnya Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali yang menjadi perunding bagi pihak kerajaan negeri untuk kita menyantuni beberapa pertikaian yang jika ada untuk kita beri keutamaan kepada kepentingan pihak berkaitan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke UniKL British Malaysian Institute di Gombak, Selangor hari ini.
Terdahulu, Kerajaan negeri Terengganu dilaporkan telah bersetuju memanjangkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026 bagi memberi ruang kepada Felda dan anak syarikat Felda, FGV meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian lengkap terhadap pertikaian tanah.
Dalam tempoh itu juga operasi ladang Felda/FGV dibenarkan diteruskan seperti biasa, dan notis awal (Notis 425 Kanun Tanah Negara) tidak diteruskan terhadap lembaga pengarah FGV.
Sebelum pelanjutan tempoh remedi diluluskan, kerajaan negeri pernah memberi tempoh tiga hari kepada FGV untuk mengosongkan aset di ladang-ladang seluas 15,000 hektar tersebut, dengan ancaman tindakan undang-undang dan sitaan jika tiada tindakan daripada pihak Felda/FGV.

Pertikaian antara FGV dan kerajaan negeri Terengganu melibatkan 10 ladang Felda/FGV termasuk di kawasan Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Tanah-tanah tersebut telah dibangunkan dan diusahakan tanpa merujuk atau membayar premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan kepada kerajaan negeri selama lebih 40 tahun, menurut kerajaan negeri.
Kerajaan Persekutuan, melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa semua tuntutan kewangan utama yang berkaitan dengan isu tanah terbabit telah dijelaskan oleh kerajaan Persekutuan.
Namun, beberapa perkara teknikal dan susulan masih dibincangkan antara Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu.
BACA JUGA Platform media sosial dianggap berlesen automatik mulai 2026 – SKMM