Ringgit kekal di paras terkuat, ada kesan positif dari rombakan Kabinet?

Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya hari ini apabila ditutup pada paras 4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.0835/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0980 ketika ditutup semalam.

Ia mencatatkan prestasi paling kukuh dalam tempoh hampir lima tahun.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang serantau ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1657/1691 daripada 3.1746/1787, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9532/9721 daripada 13.0201/0422, serta meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 244.6/245.0 daripada 245.5/245.9.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 6.95/6.96 daripada 6.93/6.94 sebelum ini.

Sementara itu, menurut laporan Bernama yang memetik Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, rombakan Kabinet terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dilihat secara positif terhadap ekonomi negara.

“Rombakan Kabinet ini akan memastikan kesinambungan dan konsistensi dasar susulan beberapa kekosongan jawatan menteri yang berlaku sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

BACA JUGA 6 timbalan menteri ‘naik’ jadi menteri, tiga muka gugur dari Kabinet