Apa kata bapa saudara tentang Ustazah Marhamah?
Ustaz Dr Badrulamin Bahron menegaskan bahawa anak saudaranya, Senator Ustazah Marhamah Rosli, yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), adalah individu yang bersih daripada sebarang kontroversi berkaitan isu Justice 4 Zara, dana NGO, serta dakwaan fahaman New Age.
Dalam kenyataan hari ini, Dr Badrulamin menyatakan penghargaan terhadap kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Marhamah dan yakin beliau akan bekerja rapat Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bagi memperteguh serta memartabatkan institusi agama di negara ini.
Beliau menjelaskan bahawa Marhamah hanya menjadi pencetus perbincangan awam, dan segala dana yang dikumpul bagi tujuan membantu keluarga Zara serta saksi prosiding mahkamah telah mendapat kelulusan Jabatan Ketua Menteri dan makluman polis.

Menurut bekas pensyarah ndang‑Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu, audit dalaman juga telah dilaksanakan, dan Marhamah tidak mempunyai sebarang nama dalam akaun tersebut.
“Diharap rakyat khususnya umat Islam dapat menerima penjelasan tersebut.
“Saya yakin Marhamah terbuka kepada semua masyarakat tanpa kira lapisan agama dan kaum untuk berbincang terutama isu wanita Islam, kebajikan dan keharmonian di bawah kerajaan Madani.
“Kita serah kepada mahkamah untuk perbicaraan kes Zara,” kata tokoh Reformis 98 berkenaan.

Selain itu, Dr Badrulamin turut menegaskan bahawa anak saudaranya bukan agen penipuan, sebaliknya merupakan mangsa.
“Pihak polis telah jalankan siasatan terkait kes tersebut. Anak saudara saya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis selama ini,” tegas beliau.
Berhikmah
Berkenaan dakwaan berkaitan ajaran ‘New Age’, Badrulamin menegaskan bahawa pendekatan dakwah yang diamalkan Marhamah berasaskan Al-Quran dan Sunnah dengan cara yang sesuai untuk masyarakat hari ini.
“Ia bukan ajaran baharu, tetapi usaha menyampaikan nilai Islam secara berhikmah dan mendidik jiwa.
“Saya yakin Marhamah sentiasa terbuka kepada teguran ilmiah berpandukan institusi agama yang berautoriti,” katanya.
Beliau menafikan sebarang penglibatan Marhamah dalam fahaman New Age dan menekankan bahawa isu tersebut hanyalah soal persepsi yang timbul daripada program atau dialog kerohanian universal yang dihadiri Marhamah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Islam menekankan keseimbangan dalam mendidik akidah serta hikmah dalam muamalah, termasuk menilai idea dan pendekatan tanpa menghukum niat tanpa bukti.
“Akhirnya, sekali lagi saya tegaskan bahawa isu Senator Marhamah dan New Age hanyalah isu persepsi sertaa pendekatan terbiah kerohanian.
“Selaku ayah saudara, Marhamah mampu menggalas tugas serta amanah yang diberi. Kepada Allah saya bertawakkal,” kata Dr Badrulamin lagi.
BACA JUGA Presiden Pas tergamak gelar ‘syaitan besar’