Aspek positif pemilihan Marhamah sebagai Timbalan Menteri Agama

Oleh SYAM GHAZ

Ustazah Marhamah Rosli yang baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merupakan Tokoh Dakwah Sabah.

Beliau yang merupakan pejuang dan pengasas Justice4Zara kini bersama Kerajaan Madani.

Langkah paling tidak dijangka dalam rombakan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini ialah pelantikan seorang aktivis dakwah yang aktif turun ke akar umbi menyebarkan Islam di Sabah.

Lihat sahaja gerak kerja dakwah Ustazah Marhamah di Sabah menerusi akaun TikTok dan Facebook beliau. Ceramah-ceramah agama beliau memang ada ilmu dan isi.

Dua perkara yang netizen kritik beliau di media sosial; dakwa beliau scammer emas dan pengasas Justice4Zara.

1) Berkaitan emas beliau ada hujah dan perjelasan terperinci, Insya-Allah beliau akan jelaskan sendiri siap dengan bukti. Kita tunggulah, jangan fitnah dulu.

2) Berkaitan Justice4Zara, tidak dinafikan isu itu yang membenamkan parti-parti Semenanjung pada PRN Sabah lalu dan berjaya mewujudkan Gelombang Sabah 4 Sabahan, Sabah First dan lain-lain.

Hingga menatijahkan parti Semenanjung kalah pada PRN Sabah, tetapi memberikan kemenangan kepada parti tempatan terutamanya GRS, UPKO hingga boleh membentuk Kerajaan Perpaduan Sabah.

Menyedari gelombang kebangkitan sentimen Sabah for Sabahan, barangkali Perdana Menteri menyedari keperluan untuk menyantuni Sabah dengan lebih serius, termasuk meletakkan individu yang jelas pegangan agamanya, khususnya dalam aspek dakwah.

Pendekatan ini berpotensi menarik sokongan gerakan Sabah for Sabahan serta Justice 4 Zara untuk bersama-sama mendukung Kerajaan MADANI, sekali gus memberikan impak politik dan sosial yang lebih besar.

Roh perjuangan

Ya, impak daripada kes Justice 4 Zara sangat besar terhadap Kerajaan MADANI. Ustazah Marhamah hanya bertindak sebagai pencetus dan penyokong tegar.

Namun, beliau bukanlah individu yang menabur fitnah, seperti dakwaan bahawa Zara dibunuh atau dimasukkan ke dalam mesin basuh, mahupun tuduhan jahat lain terhadap kerajaan Madani.

Dengan menjemput dan meletakkan beliau bersama-sama dalam Kerajaan, moga roh perjuangan untuk melawan kezaliman, penindasan, pembulian, lawan ketidakadilan akan diserap masuk dalam Kerajaan, untuk REFORM agensi-agensi di bawah Menteri Agama selepas ini, terutamanya dalam memperkasakan aspek dakwah.

Kaedah ini pernah dibuat oleh Mahathir apabila menarik Anwar Ibrahim ketika beliau jadi Presiden ABIM, dan pernah dibuat oleh arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga apabila berjaya menarik mendiang Karpal Sing dan DAP ke Barisan Alternatif seterusnya menubuhkan Pakatan Rakyat.

Kita hormat keputusan PMX, beliau lagi banyak maklumat, pertimbangan dan data sebab polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain semua di bawah Kerajaan Pusat.

Beliau boleh siasat bila-bila masa untuk buat tapisan calon-calon Menteri dan Timbalan sebelum diangkat naik angkat sumpah.

Kita doakan yang terbaik, semoga semua pejuang Justice 4 Zara dapat bersama-sama Ustazah Marhamah memperjuangkan agenda keadilan dalam konteks berkerajaan pula selepas ini.

BACA JUGA Presiden Pas tergamak gelar ‘syaitan besar’