DAPSY kecam Takiyuddin main isu kaum dalam pelantikan Menteri, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Setiausaha kebangsaan DAPSY Lim Chun Weng mengecam kenyataan setiausaha agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan etnik Menteri dan timbalan menteri untuk portfolio Wilayah Persekutuan.

Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan merupakan jantung negara yang didiami oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya. Portfolio Wilayah Persekutuan memerlukan pemimpin yang kompeten dan mampu bekerja untuk seluruh lapisan masyarakat tanpa sebarang prejudis.

“Menggunakan hujah kaum untuk mempertikaikan pelantikan jawatan awam adalah satu bentuk diskriminasi yang sangat dikesali dan jelas bertentangan dengan semangat perpaduan nasional serta prinsip Bangsa Malaysia,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Dalam rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai timbalannya.

Lo ialah Ahli Parlimen Tawau daripada GRS manakala Yeoh mewakili Segambut.

Takiyuddin telah mengungkitkan isu kaum. Beliau turut mendakwa jawatan tersebut digunakan kerana DAP membuat ancaman seperti tuntutan dalam isu UEC kepada kerajaan menerusi beberapa isu sejak kebelakangan ini. Beliau turut mendakwa DAP mengancam untuk keluar dari kerajaan.

Lim menambah bahawa menteri dan timbalan sepatutnya dinilai berdasarkan prestasi mereka.

“Dakwaan bahawa pelantikan ini adalah hasil “tawar-menawar politik” atau “ancaman” pihak tertentu merupakan satu spekulasi liar yang bertujuan merendahkan kredibiliti individu yang dilantik.

“Rekod perkhidmatan Hannah Yeoh dan barisan pimpinan lain seharusnya dinilai melalui pencapaian, integriti, dan kecekapan mereka dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Menilai keupayaan seseorang hanya melalui kanta perkauman adalah satu penghinaan kepada sistem demokrasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat.”

Takiyuddin turut mendakwa bahawa DAP mendominasi kawasan bandar dan mahu melaksanakan RUU Pembangunan Semula Bandar yang akan meminggirkan kaum tertentu.

Berhubung isu ini Lim berkata:

“Isu pembangunan semula bandar dan pemilikan tanah adalah isu teknikal dan sosio-ekonomi yang kompleks. Tindakan PAS mengaitkan inisiatif perundangan seperti Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) dengan agenda peminggiran kaum tertentu adalah taktik fear-mongering (penyebaran ketakutan) yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Rakyat perlu diingatkan bahawa sebarang dasar kerajaan tertakluk kepada penelitian Jemaah Menteri yang bersifat kolektif serta proses perbahasan yang telus di Parlimen sebelum dilaksanakan.”

Lim turut mendesak agar Pas mengamalkan slogan “Politik Matang dan Sejahtera” yang sering dilaungkan tetapi tidak kelihatan dari sudut amalan.

“Sebagai blok pembangkang yang sering melaungkan slogan “Politik Matang dan Sejahtera”, PAS seharusnya berfungsi sebagai pengkritik yang membina. Fokus seharusnya diberikan kepada semak dan imbang terhadap keberkesanan dasar dan impak ekonomi kepada rakyat, bukannya mengitar semula retorik warna kulit yang hanya akan melebarkan jurang polarisasi dalam masyarakat.

“DAPSY menegaskan bahawa rakyat Malaysia pada hari ini mendahagakan pimpinan yang fokus kepada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan sosial, bukannya pemimpin yang gemar memecahbelahkan masyarakat. Kita perlu berhenti memainkan sentimen kaum.

“Jawatan kabinet adalah amanah besar untuk berbakti kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum mahupun agama.

“Sudah tiba masanya PAS menghentikan politik toksik ini dan mula menyumbang kepada pembangunan negara secara lebih profesional dan inklusif.”

BACA JUGA: Didakwa hina istana Johor, Fahmi Reza dihujani lebih 50 laporan polis