Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Mordi Bimol Terajui Agenda Belia dan Sukan

FOTO BERITA: Majlis Penerimaan Kehadiran YB Dr. Mohammed Taufiq Johari Menteri Bela dan Sukani dan YB Mordi Bimol Timbalan Menteri Belia dan Sukan ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 17hb Disember 2025 (Rabu)

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Ahli Parlimen Sungai Petani, yang telah diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

YB Dr. Mohammed Taufiq mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perubatan dari Universiti Islam Bandung, sekali gus membawa kepakaran profesional dalam kepimpinan kementerian bagi menerajui agenda pembangunan belia dan sukan negara.

Dalam pada itu, KBS turut mengucapkan tahniah kepada YB Tuan Mordi anak Bimol, Ahli Parlimen Mas Gading, yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Akuatik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan dijangka dapat menyumbang kepakaran serta pengalaman dalam memperkukuh pengurusan dan pembangunan sektor belia dan sukan.

KBS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Hannah Yeoh yang telah berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan sejak 3 Disember 2022. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh dasar belia negara, pembangunan sukan berprestasi tinggi, kebajikan atlet serta penambahbaikan tadbir urus kementerian.

Ucapan terima kasih dan penghargaan juga dizahirkan kepada YB Adam Adli Abd Halim yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada 10 Disember 2022. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pembangunan belia serta meningkatkan penglibatan belia di peringkat akar umbi.

KBS menzahirkan komitmen penuh untuk terus bekerjasama secara profesional dan bersepadu dengan kepimpinan baharu kementerian bagi meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.