Luruan monsun berterusan hingga Jumaat ini, ini senarai kawasan dijangka hujan lebat

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 19 Disember.

Keadaan itu sekali gus berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Semenanjung Malaysia serta angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan.

Susulan perkembangan itu, Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) telah dikemas kini bagi kawasan timur Pahang.

Amaran Hujan Berterusan (Buruk) pula melibatkan selatan Terengganu, tengah Pahang dan timur Johor, berkuat kuasa sehingga esok.

MET Malaysia turut mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan Kelantan, utara Terengganu, pedalaman Pahang, barat Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka dalam tempoh sama.

Selain itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora turut dikeluarkan bagi Laut China Selatan.

Ia termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga esok, yang boleh membahayakan aktiviti perkapalan dan nelayan.

Dalam perkembangan berkaitan, analisis model ramalan cuaca menunjukkan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak bermula 21 hingga 24 Disember ini.

MET Malaysia menjelaskan, keadaan tersebut berpotensi meningkatkan kelembapan serta menyebabkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” menurutnya.

BACA JUGA Didakwa hina istana Johor, Fahmi Reza dihujani lebih 50 laporan polis