Peguam, bekas pegawai Kementerian Wilayah terangkan kuasa Menteri Wilayah

Kuasa Menteri Wilayah Persekutan hanya terhad kepada membuat dasar dan memantau pelaksanaan dasar oleh agensi berkenaan, terang peguam Zulhazmi Shariff

“Kuasa Menteri Wilayah Persekutuan tidak lebih daripada membuat dasar untuk dilaksanakan oleh DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan. Daripada dasar kemudian memantau perlaksanaan dasar yang dibuat.

“Jadi, tak perlulah nak mainkan isu kononnya bila Hannah jadi Menteri, habislah Melayu Islam di Wilayah Persekutuan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga bekas pegawai Kementerian Wilayah berkata demikian ekoran ada ura-ura dakwaan bahawa orang Melayu dan agama Islam terancam susulan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Ada juga yang mendakwa bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Presiden Perbadanan Putrajaya dan Labuan akan dilantik dari kalangan bukan Melayu.

“Apabila kita bercakap tentang Wilayah Persekutuan, tak kira la Kuala Lumpur ke Labuan ke Putrajaya ke… semuanya itu terletak di bawah kuasa Yang diPertuan Agong.

“Untuk lantik Datuk Bandar, mesti dapat perkenan Agong, nak lantik Presiden Perbadanan, mesti diperkenan Agong.

“Menteri hanya ada kuasa mencadangkan nama. Itu pun kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri yang akan persembah untuk diperkenan oleh Agong.

“Islam? Islam di Wilayah Persekutuan terus di bawah Agong. Menteri walaupun berbangsa Melayu beragama Islam, tiada kuasa atas agama di Wilayah Persekutuan.

“Ianya kuasa langsung dengan Agong melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Jangan lupa, Hannah adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Jadi apa saja yang hendak dilakukan perlu izin daripada Perdana Menteri.

“Perdana Menteri pun bukan boleh sewenang-wenang kerana nanti akan ditanya juga oleh Yang di-Pertuan Agong.”

BACA JUGA: DAPSY kecam Takiyuddin main isu kaum dalam pelantikan Menteri, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan