Afghanistan perlu perkasakan pendidikan untuk maju ke depan
Kerajaan Afghanistan perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan untuk membolehkan negaranya keluar dari kepompong yang ada sekarang.
Bekas Menteri Pendidikan yang kini Pengerusi International Institute for Advanced Islamic Studies (IAIS), Dr Maszlee Malik berkata, hanya dengan pendidikan Afghanistan boleh membawa rakyat dan negaranya maju ke depan.
Ketua Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada majlis dialog bersama wakil kerajaan Afghanistan yang kini ditadbir Taliban.
“Beri pendidikan kepada semua. Ia adalah asas untuk Afghanistan yang berjaya,” kata Maszlee di tengah perbincangan hangat mengenai sistem pendidikan di negara dikuasai Taliban itu.
Antaranya, hak untuk mendapatkan pendidikan sepenuhnya dalam kalangan wanita.
Menurut Maszlee, Malaysia menawarkan kerjasama untuk membantu pendidikan di Afghanistan.
“Tidak perlu ada di Malaysia untuk belajar, boleh belajar di Malaysia dari Kabul,” katanya merujuk kepada pembelajaran secara online yang kini semakin popular termasuk di Malaysia dengan memberikan contoh Open Universiti Malaysia (OUM) yang disifatkannya sebagai paling menonjol.

Dr Abdul Hai memberikan taklimat tentang perkembangan terbaharu di Afghanistan di bawah Taliban kini
Beberapa pemimpin Afghanistan kini berada di Malaysia untuk mempromosikan negara mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Kajian Strategik Afghanistan, Dr. Abdul Hai, menyampaikan taklimat mengenai perkembangan terkini di negara Asia Tengah berkenaan.
Pelbagai isu dibangkitkan oleh peserta dialog dan ramai yang memberikan tumpuan kepada pendidikan ekoran isu hak untuk wanita mendapatkan pendidikan sepenuhnya di negara itu.
Menurut Dr Hai, tidak ada sebarang sekatan rasmi untuk wanita Afghanistan mendapatkan pendidikan tertinggi di negara tersebut.
“Ia lebih kepada budaya tempatan bukan sekatan rasmi,” kata beliau menjawah soalan dari Dr Hashim Kamali yang turut menjadi peserta dialog itu.
Afghanistan sedang mempromosikan negara mereka ke peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang diplomasi dan ekonomi.
Menurut Dr. Hai, yang sebelum ini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Afghanistan kini menerima kerjasama yang baik daripada Turki, Iran, dan beberapa negara Islam lain.
Sebelum ini, jelasnya, Amerika Syarikat (AS) cuba memaksa negaranya, yang mempunyai 40 juta penduduk, melalui program kejuruteraan sosial tetapi gagal.
“Ia tidak boleh dipaksakan dan perlu datang dari rakyat sendiri,” kata beliau lagi.
Untuk rekod, Afghanistan masih berada di bawah kawalan penuh Taliban sejak kumpulan itu mengambil alih kuasa pada Ogos 2021 selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat dan NATO. Taliban kini menjalankan pentadbiran de facto di seluruh negara.
Walaupun beberapa negara seperti Rusia telah mengiktiraf pentadbiran Taliban, kebanyakan negara lain masih tidak mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan sah secara rasmi kerana isu hak asasi manusia.
Negara itu menghadapi krisis kebuluran, kekurangan bantuan dan penurunan bantuan antarabangsa, dengan jutaan rakyat memerlukan bantuan makanan dan asas lain termasuk lebih 20 juta yang memerlukan bantuan kemanusiaan.
BACA JUGA Steven berat hati nak ‘pergi’ tapi sedia galas tanggungjawab besar