Ahli Majlis PBT tonggak kejayaan tadbir urus tempatan Selangor – Ng Suee Lim

FOTO BERITA: Majlis Apresiasi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan NegeriI Selangor Bagi Penggal 2024-2025 bersama YB Dato’ Ng Suee Lim EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan Selangor di Grand Ballroom, Concorde Hotel Shah Alam, Selangor. 17hb Disember 2025 (Rabu)

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disifatkan sebagai tonggak utama kejayaan pelaksanaan dasar dan tadbir urus Kerajaan Negeri Selangor di peringkat akar umbi, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, YB Dato’ Ng Suee Lim.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor bagi Penggal 2024–2025 yang berlangsung di Grand Ballroom, Concorde Hotel Shah Alam, malam ini.

Menurut beliau, majlis tersebut bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan, komitmen dan khidmat bakti Ahli Majlis sebagai penghubung strategik antara kerajaan dan komuniti setempat.

“Ahli Majlis memainkan peranan amat penting sebagai jambatan antara keperluan rakyat dengan hala tuju Kerajaan Negeri. Tanggungjawab ini menuntut komitmen tinggi, integriti kukuh serta keupayaan memahami denyut nadi masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Ahli Majlis bukan sahaja berperanan dalam mesyuarat, malah turut menyokong pelaksanaan dasar negeri, memantau penyampaian perkhidmatan awam serta menjadi rujukan utama komuniti dalam menjelaskan dasar dan inisiatif kerajaan secara tepat dan berfakta.

Dalam ucapannya, Ng turut memuji usaha PBT yang terus meningkatkan mutu perkhidmatan melalui pendigitalan perkhidmatan, termasuk pembayaran cukai dan lesen secara dalam talian, pelaksanaan program kitar semula dan pengurusan sisa pepejal bersepadu yang mencatat kadar kitar semula 8.24 peratus, serta pelaksanaan projek naik taraf infrastruktur demi keselesaan dan keselamatan rakyat.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar memandang serius titah dan teguran Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkaitan isu kebersihan dan pengurusan sisa pepejal yang disifatkan sebagai cerminan kecekapan pentadbiran serta kualiti hidup rakyat.

“Ahli Majlis mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan isu kebersihan diberi perhatian melalui pemantauan berterusan, penguatkuasaan dan penglibatan aktif bersama komuniti,” ujarnya.

Mengulas pencapaian negeri, Ng berkata Selangor terus mengekalkan kedudukan sebagai antara peneraju ekonomi negara dengan kelulusan pelaburan berjumlah RM51.9 bilion sehingga September 2025, disokong purata pertumbuhan KDNK 7.43 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Beliau turut merujuk Belanjawan Selangor 2026 bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera” yang memperuntukkan RM3.23 bilion bagi memperkukuh daya saing negeri dan kesejahteraan rakyat merangkumi aspek ekonomi, tadbir urus, pendidikan, kebajikan sosial serta kelestarian alam sekitar.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelantikan Ahli Majlis PBT bagi penggal baharu 2026–2027 bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, melibatkan 300 kerusi di 12 PBT seluruh Selangor.

Pelantikan tersebut akan dibuat secara teratur dan berfasa dengan penekanan kepada prinsip integriti, keterangkuman dan keberkesanan tadbir urus.

Pelantikan tersebut akan dibuat secara teratur dan berfasa dengan penekanan kepada prinsip integriti, keterangkuman dan keberkesanan tadbir urus.

Mengakhiri ucapannya, Ng menyeru semua Ahli Majlis agar terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, mengutamakan ketelusan dan akauntabiliti serta bertindak proaktif dalam menangani cabaran semasa seperti kebersihan, banjir, mobiliti bandar dan pembangunan mampan.

“Kejayaan Selangor sebagai negeri ‘Juara, Rakyat Sejahtera’ adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap keputusan Ahli Majlis akan membentuk keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Tempatan,” katanya.