Anwar jawab rasional rombakan Kabinet, lantik pemimpin muda
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab secara ringkas mengenai rasional pelantikan baharu dalam Kabinet.
Dalam pertemuan bersama ketua-ketua pengarang dan wartawan media tempatan malam tadi, Anwar berkata rombakan kecil dibuat bagi menyuntik nafas baharu di beberapa kementerian selain melibatkan lebih ramai tokoh muda dalam Kabinet.
“Saya jelaskan bahawa ia dibuat dengan mengambil kira keperluan menyuntik nafas dan tenaga baharu di beberapa kementerian, termasuk melibatkan lebih ramai tokoh muda bagi menggerakkan agenda reformasi dengan lebih pantas.
“Insya-Allah, Kabinet MADANI akan mempertingkatkan usaha pada tahun mendatang demi memastikan reformasi yang lebih bermakna selari dengan tuntutan rakyat, sambil menentang keras naratif durjana yang menghasut perpecahan, perkauman dan pelampau agama,” katanya.
Sementara itu Anwar berkata, dalam tempoh setahun ini kerajaannya sudah melaksanakan banyak pembaharuan disamping mengusahakan kejayaan yang boleh dibanggakan.
Antara kejayaan dan usaha kerajaan dalam tempoh setahun ini:
1) Kerajaan meneruskan usaha reformasi sepanjang 2025, termasuk menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, RUU Perolehan Kerajaan.
2) Penyasaran subsidi yang adil tanpa membebankan rakyat serta menutup ruang ketirisan.
3) Pengukuhan peranan badan penguat kuasa membuahkan hasil dengan rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion.
4) Kemajuan ketara dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, termasuk penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
5) Dari sudut ekonomi, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384.4 bilion.
6) Ringgit pula terus menunjukkan pengukuhan sekitar RM4.11 berbanding dolar Amerika.
7) Kerajaan MADANI juga menaikkan gaji penjawat awam dan gaji minimum, manakala usaha menoktahkan kemiskinan tegar juga hampir mencapai sasaran, dengan berbaki hanya 0.09 peratus.
“Di sebalik pencapaian ini, saya akui bahawa masih wujud kelemahan, kekurangan dan ruang penambahbaikan.
“Kerajaan MADANI akur dengan pandangan, teguran dan kritikan, serta beriltizam untuk bekerja lebih keras pada tahun hadapan,” tambah Anwar lagi
BACA JUGA DAPSY kecam Takiyuddin main isu kaum dalam pelantikan Menteri, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan