Lebih 300 PATI dalam sebuah kilang ditahan, cerminan masalah pasaran buruh negara
Penahanan 356 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Ops Mahir di sebuah kilang komponen komputer di kawasan Perindustrian Tebrau di Johor Bahru, kelmarin mendedahkan isu serius berkaitan pengambilan buruh tidak sah yang disifatkan berlaku secara terancang dan berstruktur.
Penganalisis, Nazri Hamdan berpendapat jumlah pekerja asing tanpa dokumen yang begitu besar dalam satu premis memberi gambaran jelas wujudnya pengurusan pengambilan buruh yang tersusun, termasuk kemungkinan penglibatan individu tempatan dalam bahagian sumber manusia.
Menurutnya, tindakan pekerja yang cuba melarikan diri semasa serbuan tidak harus dilihat semata-mata sebagai perbuatan jenayah, sebaliknya mencerminkan realiti mereka yang terperangkap dalam sistem pekerjaan yang tidak menawarkan sebarang perlindungan undang-undang atau keselamatan sosial.
“Dalam skala lebih besar, kes ini mencerminkan masalah struktur ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia.
“Banyak industri masih bergantung kepada buruh murah untuk kekal kompetitif, namun proses pengambilan pekerja secara sah pula perlahan dan mahal. Keadaan ini mendorong majikan mengambil jalan pintas,” katanya.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penahanan 356 PATI di sebuah kilang komponen komputer di kawasan Perindustrian Tebrau kelmarin susulan risikan yang mendapati majikan terbabit disyaki terlibat secara serius dalam penggajian warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 299 warga Myanmar ditahan, diikuti Bangladesh (26), India (22), Indonesia (tiga), Nepal (dua) serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Filipina, berusia antara 18 hingga 46 tahun.
Lelaki tempatan
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula jam 7 malam itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Beliau berkata, dua lelaki tempatan yang dipercayai pegawai sumber manusia kilang terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas premis berkenaan turut mendedahkan wujud unsur pelanggaran undang-undang imigresen secara terancang termasuk kegagalan majikan mematuhi syarat penggajian pekerja asing.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Nazri menegaskan penguatkuasaan dan serbuan adalah penting sebagai amaran tetapi langkah itu tidak memadai jika hanya tertumpu kepada penahanan pekerja asing tanpa dokumen.
Sebaliknya, beliau mencadangkan reformasi menyeluruh dilaksanakan, termasuk penambahbaikan sistem pengambilan pekerja asing, kawalan ketat terhadap ejen buruh, serta pengenaan hukuman lebih berat terhadap majikan yang melanggar undang-undang.
“Jika tiada rombakan sistemik, kitaran sama akan terus berulang, kilang beroperasi dengan buruh tidak sah, serbuan dilakukan, kemudian keadaan kembali senyap sehingga kes seterusnya berlaku,” katanya lagi.
BACA JUGA Rakyat terus nikmati kadar tol tanpa kenaikan tahun depan