Malaysia atasi 6 negara, diiktiraf pinjaman perumahan paling mesra peminjam di Asia Pasifik

Pasaran pinjaman perumahan Malaysia diiktiraf paling mesra peminjam dalam kalangan enam negara Asia Pasifik, menurut kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI.

Ia mengatasi Indonesia, Vietnam, Thailand, Korea Selatan dan Jepun, menurut Berita Harian.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kashif Ansari berkata, disebabkan sistem kewangan dan persekitaran kawal selia Malaysia yang kukuh, pembeli rumah di Malaysia membayar kurang daripada separuh kos pinjaman perumahan berbanding pembeli di Indonesia

“Ia menyumbang kepada kestabilan serta kebolehjangkaan pasaran perumahan, sekali gus memberikan manfaat bersih yang besar kepada negara secara keseluruhan,” katanya.

Faktor itu kata beliau menjadikan Malaysia antara pasaran paling stabil dan mesra peminjam dalam kalangan negara Asia Pasifik.

Menurut Kashif, peminjam di Malaysia mendapat manfaat daripada tahap ketelusan yang jarang ditemui di Asia Tenggara.

Ia sekali gus melindungi mereka daripada kadar promosi rendah yang boleh melonjak selepas tiga tahun dan menyebabkan bayaran pinjaman perumahan meningkat kira-kira 50 peratus, seperti yang berlaku di Thailand dan Vietnam.

Malaysia juga unik kerana pihak bank diwajibkan bersikap telus mengenai caj yang dikenakan ke atas peminjam, kata beliau seperti dilapor BH.

Pada masa sama, Kashif berkata ramai pembeli rumah kali pertama di Malaysia turut menikmati pengecualian duti setem sepenuhnya, sambil menambah bahawa menerusi Belanjawan terkini, kerajaan melanjutkan pengecualian tersebut bagi pembeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2027.