Senior AMANAH tegur juniornya kenapa anggap Kabinet baru pelempang ke muka parti
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menegur kenyataan pemimpin pemudanya yang menganggap pelantikan Kabinet tanpa muka baharu dari AMANAH sebagai “pelempang” kepada parti itu.
Raja Kamarul berkata, pandangan yang dilemparkan ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH, Ahmad Azri Abdullah tidak menunjukkan pandangan yang wajar atas tiga sebab.
Pertama, cadangan supaya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama menunjukkan kurang hormat terhadap pengalaman dan kedudukan Mujahid sebagai bekas Menteri penuh dan rekod cemerlangnya menyelesaikan masalah Tabung Haji.
Kedua, memandangkan Mujahid ialah Timbalan Presiden parti, bekas menteri dan Senator, cadangan Ahmad Azri tidak menghormati parti AMANAH dan PH sendiri kerana mencadangkan pelantikan yang lebih rendah, sedangkan Mujahid mempunyai pengaruh besar.
Ketiga, tuduhan bahawa Anwar meminggirkan AMANAH atau seolah memberi ‘pelempang kepada AMANAH’ menunjukkan kurang faham beliau terhadap protokol dan prosedur dalaman antara parti.
Raja Kamarul berkata, Ahmad Azri sepatutnya bertanya sendiri kepada pemimpin AMANAH sama ada nama Mujahid telah dicadangkan kepada Perdana Menteri atau tidak kerana mengikut protokol, pelantikan dibuat bergantung kepada senarai calon menteri yang dikemukakan oleh parti.
“Ahmad Azri sepatutnya terlebih dahulu menyemak sama ada AMANAH memang benar telah mengemukakan pencalonan Mujahid sebelum menuduh Anwar “meminggirkan” calon AMANAH.
“Beliau wajar mengesahkan perkara ini dengan pihak AMANAH, memandangkan ramai tertanya-tanya mengapa Mujahid sebagai Timbalan Presiden dan tokoh politik agama AMANAH yang paling menonjol sekali lagi tidak dilantik.
“Sedangkan ahli parti yang bukan lebih kanan telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Madani yang sangat memerlukan seorang Menteri Agama berpengalaman menghadapi cabaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily pagi ini.
Beliau berpendapat, untuk berlaku adik, Ahmad Azri perlu bertanya terus kelada parti sama ada nama Mujahid benar-benar pernah dikemukakan dalam senarai pelantikan Kabinet yang terdahulu dan juga terkini.
BACA JUGA Anwar jawab rasional rombakan Kabinet, lantik pemimpin muda