Tiada kenaikan tol di 10 lebuh raya utama pada 2026

Kerajaan mengumumkan bahawa tiada kenaikan tol untuk 10 konsesi lebuh raya utama pada tahun hadapan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, implikasi kewangan melibatkan pembayaran pampasan kepada pemegang konsesi akan ditanggung pihak kerajaan.

“Semalam, ada diputuskan bahawa bagi tahun 2026, 10 konsesi lebuh raya yang akan diperincikan oleh Kementerian Kerja Raya tidak akan mengalami kenaikan tol,” katanya.

Beliau menambah butiran lanjut akan diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya.

Penangguhan kenaikan kadar tol itu dilihat mengurangkan bebanan kos kira-kira 941,000 pengguna lebuh raya, khususnya yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan menanggung pampasan lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi, susulan pengumuman ‘Penghargaan Untuk Rakyat’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menangguhkan kenaikan kadar tol membabitkan 10 lebuh raya pada tahun ini.

Lebuh raya yang terbabit bagi penangguhan kenaikan kadar tol membabitkan Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA); Lebuhraya KL – Kuala Selangor (LATAR) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).

Ia termasuk Lebuhraya Senai – Desaru (SDE); Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2); Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

BACA JUGA Polisi benarkan masuk haiwan peliharaan ditarik balik