Dahlah tahap optimis tertinggi, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia juga naik
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2024 naik kepada 120.6 mata berbanding 119.4 pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kedudukan itu direkodkan ketika firma penyelidikan pasaran global, Ipsos Malaysia mengiktiraf Malaysia sebagai negara paling optimis dari segi ekonomi di Asia Tenggara.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, subkomposit ekonomi kekal sebagai penyumbang utama melalui peningkatan 2.2 mata indeks kepada 128.8.
Ia diikuti subkomposit sosial 1.1 mata indeks dan subkomposit alam sekitar 0.2 mata indeks pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi subkomposit ekonomi, komponen pendapatan dan pengagihan merekodkan peningkatan tertinggi pada 2024 iaitu 5.9 mata indeks, diikuti pengangkutan dengan 3.4 mata indeks dan komunikasi 0.1 mata indeks.
“Pencapaian ini menandakan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh serta pengagihan pendapatan yang lebih seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan dari segi subkomposit sosial, peningkatan indeks dicatatkan melalui enam komponen iaitu penyertaan sosial 5.1 mata indeks, tadbir urus (4.7), perumahan (1.7), hiburan dan rekreasi (1.7), kebudayaan (0.4) serta keselamatan awam 0.1 mata indeks.
Mengenai subkomposit alam sekitar, Mohd Uzir berkata, ia turut menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan dalam komponen udara 1.1 mata indeks dan sumber biodiversiti 0.2 mata indeks.
“Penambahbaikan indikator alam sekitar memberi tumpuan kepada pelepasan gas rumah kaca, akses kepada air paip yang dirawat serta keluasan hutan yang dilesenkan untuk pengusahasilan,” katanya lagi.
BACA JUGA Maruah KSN dipertahan, aktivis tolak tuduhan fitnah rasuah