‘Jadi punk bukan …, usia dah tua bangka’ – Selebriti tempelak Fahmi Reza
Pelawak, Shahrol Shiro menempelak aktivis kontroversi yang juga pendukung punk, Fahmi Reza, berhubung kenyataan yang didakwa bersifat menghasut serta berpotensi menggugat keamanan, khususnya di Johor.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Reel Facebook, Shahrol mendakwa lebih 50 laporan polis telah dibuat terhadap Fahmi Reza berhubung kandungan tulisan yang dianggap bersifat provokasi.
Menurutnya, walaupun sesuatu ayat boleh dinyatakan dalam bentuk soalan, penggunaan bahasa dan nada yang tidak beradab tetap boleh menimbulkan salah faham serta menyinggung perasaan pihak tertentu.
“Adalah lebih elok jika tulisan itu disertakan sekali dengan adab agar tidak ada yang tersinggung,” tegasnya.
Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi menegaskan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor (DYAM PSJ) bukan sekadar individu, sebaliknya merupakan lambang kedaulatan, perpaduan dan keharmonian negeri Johor.
“DYAM PSJ sentiasa cakna tentang bangsa Johor, menggerakkan belia melalui SV (Southern Volunteers) yang turun apabila terjadinya bencana, menyelesaikan isu di hospital agar rakyat lebih selesa, mengilhamkan program infaq Jumaat di semua DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam Johor,” jelasnya.
Anak kelahiran Kluang itu juga berkata, kejayaan dan kestabilan Johor hari ini adalah hasil kerjasama erat antara institusi diraja dan kepimpinan negeri.
Terdahulu, Fahmi, 48, dihujani kecaman dan berdepan dengan lebih 50 laporan polis terhadapnya gara-gara kenyataan yang disifatkan rakyat Johor sebagai menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan institusi Diraja Johor.

Memanfaatkan bakat
Mengulas lanjut, Shahrol yang juga bekas penyampai radio mengingatkan agar sebarang tindakan atau kenyataan tidak meruntuhkan tembok keharmonian yang telah dibina.
Dalam nada menasihati, Shahrol, 41, turut menggesa Fahmi Reza memanfaatkan bakat dan semangat yang dimilikinya untuk membentuk generasi masa depan yang lebih baik, dengan meletakkan nilai adab dan budaya sebagai keutamaan.
“Fahmi, Allah SWT telah kurniakan bakat dan semangat yang luar biasa buat kamu. Adalah lebih elok kamu gunakan untuk membentuk sebuah generasi lebih baik pada masa akan datang yang meletakkan nilai adab budaya di hadapan,” tegasnya.
Beliau juga menekankan keperluan menilai pengaruh budaya luar, dengan mengambil perkara yang baik dan menolak unsur yang tidak selari dengan nilai tempatan.
Secara sinis, Shahrol menasihati Fahmi, “Jadi punk bukan gampang” selain menyeru agar aktivis berkenaan bersikap matang kerana “usia dah tua bangka”.
BACA JUGA ‘Polis dah panggil. Let’s dance!’