KESUMA umum empat inisiatif utama perkasa pserlindungan sosial negara

FOTO BERITA: Sidang Media sempena Lawatan Kerja Rasmi YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan Menteri Sumber Manusia bersama Ketua Setiausaha KESUMA, YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof ke Menara PERKESO Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 19hb Disember 2025 (Jumaat)

Semua permohonan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merentasi empat akta utama kini boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian berkuat kuasa Januari ini, sekali gus memudahkan akses perlindungan keselamatan sosial kepada pencarum di seluruh negara.

Menurut beliau, pembaharuan dasar tersebut merupakan antara empat pengumuman utama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertujuan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PERKESO.

“Tindakan ini bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada lebih 10 juta pekerja sektor formal dan informal di Malaysia. Semua permohonan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) kini boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengoperasian penuh portal LINDUNG Faedah akan melibatkan permohonan pelbagai faedah termasuk Hilang Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS), Pencen Ilat, Penyakit Khidmat, Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta Pencen Penakat.

“Dengan purata lebih 200,000 permohonan faedah PERKESO setiap tahun, pendekatan digital ini akan mengurangkan beban pencarum dan waris keluarga yang sebelum ini perlu hadir secara fizikal ke pejabat PERKESO,” katanya pada sidang media tersebut.

Tiga lagi pengumuman utama ialah sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) menjelang suku pertama atau selewat-lewatnya akhir suku kedua 2026, pengurangan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus mulai hari ini hingga hujung Februari 2026, serta perancangan memperkenalkan Skim Pengembara.

Skim Pengembara akan dirintis melalui kajian kebolehlaksanaan bermula tahun depan bagi memastikan hampir 400,000 pekerja tempatan yang berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial. Mengulas lanjut, Ramanan berkata pengurangan FCLB tersebut mengambil kira kekangan kewangan yang dihadapi segelintir majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), susulan peningkatan kos operasi perniagaan.

“Langkah ini bertujuan membantu kelangsungan operasi majikan tanpa menjejaskan hak pekerja,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa PERKESO sedang memperkukuh infrastruktur dalaman serta meningkatkan kecekapan pentadbiran bagi memastikan kelancaran pelaksanaan LINDUNG 24 Jam dan persediaan menghadapi penguatkuasaan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025.

“Kita perlu pastikan setiap dasar bukan sekadar cantik di atas kertas, tetapi dapat dilaksanakan secara berkesan di lapangan,” katanya. Hadir sama pada lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, Dr. Mohammed Azman menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu KESUMA akan terus memperkukuh peranan PERKESO sebagai pelaksana utama agenda reformasi perlindungan sosial negara. “PERKESO akan terus berfungsi bukan sahaja sebagai pelaksana dasar, malah sebagai rakan strategik Kerajaan dalam membina negara yang berdaya tahan dan menjamin kesejahteraan sosial rakyat secara inklusif,” katanya.