Maruah KSN dipertahan, aktivis tolak tuduhan fitnah rasuah
Aktivis politik, Syam Ghaz, tampil mempertahankan Ketua Setiausaha Negara (KSN) susulan penyebaran dakwaan dan fitnah di media sosial yang mengaitkan penjawat awam tertinggi itu dengan salah guna kuasa dan gaya hidup mewah.
Menurutnya, beberapa individu termasuk pengguna media sosial yang dikenal pasti sebagai Salim Iskandar dan Zaharin didakwa menyebarkan maklumat palsu serta tuduhan tidak berasas terhadap KSN, sebelum sebahagian kandungan tersebut dipadamkan.
Beliau mempersoalkan sama ada tuduhan itu mempunyai kaitan dengan kepentingan pihak tertentu dalam kalangan pegawai kanan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Pegawai terbabit, katanya, tidak senang dengan usaha tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam membanteras rasuah.
Syam turut menafikan dakwaan kononnya KSN mengamalkan gaya hidup mewah termasuk merokok curut dan bermain golf, sambil menegaskan bahawa KSN dikenali sebagai individu yang sederhana dan aktif dengan kegiatan keagamaan.
“Kamu fitnah dia hisap curut? Zaman bila? Rokok pun dia tak hisap, inikan curut dan main golf! Dia kaki masjid!” tegasnya.
Amalan biasa
Mengulas isu pengubahsuaian kediaman rasmi KSN, beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja baik pulih merupakan amalan biasa memandangkan rumah tersebut adalah aset kerajaan yang perlu diselenggara setiap kali berlaku pertukaran penyandang jawatan.
Selain itu, Syam menolak dakwaan bahawa KSN terlibat dalam menyusun projek di Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) atau mengawal kontrak di Kementerian Kewangan (MOF).
Syam menegaskan bahawa semua keputusan dibuat adalah melalui lembaga dan prosedur rasmi yang ditetapkan.
Beliau juga mempertahankan peranan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, yang menurutnya sedang giat membersihkan Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada unsur rasuah.
Justeru, beliau menyarankan agar siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan sekiranya terdapat sebarang salah laku.
Dalam masa sama, Syam menggesa agar budaya fitnah dihentikan dan menekankan kepentingan integriti dalam kalangan penyokong kerajaan, termasuk penggiat media sosial dan pemimpin pendapat (key opinion leader).
“Perjuangan sebenar ialah melawan rasuah, bukan merosakkan kredibiliti penjawat awam dengan fitnah,” tegasnya lagi.
BACA JUGA Melayu tak perlu gusar, Wilayah Persekutuan di bawah PM