‘Polis dah panggil. Let’s dance!’

Aktivis kontroversi Fahmi Reza memberitahu dia sudah dipanggil pihak polis untuk menghadiri siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

“Polis dah panggil. Let’s dance!” katanya di platform X sebentar tadi sambil berkongsikan notis arahan polis.

Mengikut Seksyen 4 (1) bukan sekadar ucapan, malah lukisan, poster, karikatur, tulisan, hantaran media sosial atau bahan visual juga boleh jatuh di bawah seksyen tersebut jika dianggap mempunyai kecenderungan menghasut.

Sementara itu, Fahmi menerusi satu hantaran lain pagi ini menegaskan bahawa dia bersedia untuk berdepan dengan sebarang siasatan atau dakwaan.

Tanpa mengambil kira berapa banyak laporan polis dibuat terhadapnya, Fahmi berkata, dia sedia mempertahankan haknya untuk bersuara.

“Kita rakyat bukan hamba. Aku tak akan tarik balik atau padamkan tweet tu.

“Kuasa tak perlu disembah. Kuasa wajib dipersoal,” kata Fahmi.

Semalam, dilaporkan lebih 50 laporan polis terhadap Fahmi dibuat yang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap pereka grafik berkenaan.

Laporan itu dibuat ekoran kenyataan Fahmi yang dilihat bersifat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan institusi Diraja Johor.

Mencabar prinsip

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok, Semerah dan lain-lain turut tampil membuat laporan polis.

Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab Fahmi secara jelas mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pemimpin UMNO itu menambah hantaran sedemikian bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah berpotensi mencetuskan kemarahan, keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.

Jika dibiarkan, tegasnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan sosial yang selama ini dipelihara bersama.

“Saya ingin menegaskan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara.

“Sebarang cubaan merendahkan, mempersenda atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi ini adalah sama sekali tidak boleh diterima,” kata Aznan lagi.

Sebelum itu, Fahmi memberitahu bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meminta platform X untuk memadam kenyataan yang ditulisnya pada 7 Disember lalu kerana disifatkan melanggar undang-undang di negara ini.

“X e-mel aku kata mereka tak layan permintaan SKMM. Posting tu masih ada. Aku tak akan padamkan,” katanya,

Dalam satu hantaran lain pula, Fahmi menegaskan bahawa dia tidak pernah gentar untuk mengkritik mana-mana pihak termasuk institusi beraja melalui pendekatan satira politik.

Jelasnya, satira merupakan ‘senjata’ yang konsisten digunakannya tanpa mengira individu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong, malah melibatkan anak raja dari mana-mana negeri.

BACA JUGA 14,808 mangsa banjir di 4 negeri berlindung di 106 PPS, jumlah makin meningkat