Enam Resolusi ditetapkan dalam Konvensyen Dakwah Negara dan Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2025

FOTO BERITA: Konvensyen NUNJI 2025 bersama Majlis Hukama’ Muslimin Malaysia dan Persatuan CinaMuslim Malaysia (MACMA) di Putra Hall B, Putrajaya International Convention Centre (PICC) Putrajaya. 20hb Disember 2025 (Sabtu)

Konvensyen Dakwah Negara dan Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2025 yang berlangsung di Putra Hall B, Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini telah meluluskan enam resolusi utama sebagai panduan tindakan dan pemantauan berterusan ke arah pengukuhan agenda Malaysia Madani berteraskan nilai, rahmah dan keadilan.

Konvensyen yang menghimpunkan para ulama, ilmuwan, pemimpin masyarakat serta wakil institusi dakwah ini dianjurkan dengan kesedaran bahawa politik yang berteraskan kuasa semata-mata tidak akan menjamin keadilan, malah gagal membina konsensus nasional yang diperlukan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Para peserta turut menginsafi bahawa perkauman sempit serta eksploitasi agama dalam politik boleh menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum dan agama. Sehubungan itu, konvensyen mengakui keperluan mendesak untuk membentuk satu jalan ke hadapan berasaskan politik nilai serta persefahaman rentas parti demi memperkukuh agenda Madani untuk kebaikan seluruh rakyat.

Bertemakan “Politik Rahmah Mengukuhkan Agenda Madani”, konvensyen yang berlangsung pada 29 Jamadil Akhir 1447 Hijrah ini sebulat suara menetapkan enam resolusi utama.

Resolusi kedua menumpukan kepada Politik Nilai dan Penolakan Politik Kebencian, di mana konvensyen menolak sebarang bentuk politik kebencian, fitnah, ekstremisme serta eksploitasi agama dan kaum, sebaliknya menegaskan keperluan integriti, kejujuran dan tanggungjawab moral dalam amalan politik.

Melalui resolusi ketiga, konvensyen mengiktiraf kepentingan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin dalam mengurus kepelbagaian masyarakat majmuk. Prinsip ini disokong untuk diterapkan secara inklusif dan berhemah dalam hubungan antara agama serta pembentukan dasar awam, selaras dengan realiti Malaysia dan prinsip asas Islam.

Resolusi keempat pula menekankan Maqasid Syariah sebagai asas pembinaan Malaysia Madani, dengan memastikan pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah dilaksanakan secara seimbang, adil dan berdaya tahan dalam kerangka pembangunan negara.

Bagi resolusi kelima, konvensyen menegaskan kepentingan sinergi antara ulama’ dan umara’ yang berteraskan hikmah, nasihat beradab serta keberanian menegakkan kebenaran, di samping menyokong pembinaan konsensus nasional melalui pendekatan wasatiyyah dan dialog berhemah.

Resolusi keenam pula menumpukan kepada pelaksanaan, pendidikan dan tindakan susulan, dengan ikrar untuk memperkasa peranan Akademi NUNJI, institusi dakwah dan masyarakat sivil dalam pendidikan politik berteraskan nilai, serta memastikan semua resolusi dilaksanakan melalui tindakan berterusan dan pemantauan yang berkesan.

Konvensyen ini menzahirkan komitmen bersama untuk menjadikan politik sebagai wahana rahmah dan perpaduan, bukan perpecahan, demi membina masa depan Malaysia yang lebih adil, harmoni dan berteraskan nilai sejagat.