Gambar warden ustaz merotan tersebar, polis sahkan kejadian di Kedah
Gambar seorang warden bergelar ustaz yang didakwa merotan seorang pelajar tahfiz secara bertubi-tubi tular di media sosial.
Sementara itu, polis mengesahkan kejadian membabitkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun itu berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim pada kira-kira 2 pagi, 29 September lalu.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, seorang lelaki dipercayai warden maahad tahfiz itu merotan murid berkenaan kerana telah menganggu murid-murid lain yang sedang belajar.
“Murid yang tinggal di Padang Serai itu baru masuk ke maahad tahfiz berkenaan kira-kira tujuh bulan lepas
“Apabila ibu bapa murid itu mengambil anak mereka, didapati terdapat kesan lebam pada anggota badannya.
“Bapa murid itu kemudiannya membuat laporan polis pada 3 Okt dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada awalnya,” katanya, dipetik Bernama.
Menurutnya, pelaku yang berusia 26 tahun itu telah diambil keterangan dan buat masa ini masih belum ada tangkapan dibuat.
Beliau berkata, pihaknya yang kemudiannya mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu telah menghantar bukti berkenaan kepada pihak pendakwa raya pada 18 Disember lalu dan sedang menunggu arahan selanjutnya.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
“Nanti saya akan maklumkan perkembangan kes,” kata Adzli lagi.
Sebelum ini, warganet dikejutkan dengan paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang dewasa berjubah dan berkopiah merotan seorang pelajar lelaki dalam bilik asrama.
Sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak lain duduk berkeliling menyaksikan keganasan tersebut.
Tidak kurang 10 sebatan dengan hayunan yang tinggi dikenakan terhadap kanak-kanak yang teraniaya berkenaan.
BACA JUGA Mengapa ada pengetua, guru besar di Kelantan “habis ketar lutut”?