Ini 4 syarat pemegang SPHM boleh guna imej, dekorasi perayaan bukan Islam

Ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam di hotel atau premis makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh digunakan, namun ia perlu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata dekorasi terbabit tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban.

“Dekorasi, imej, hiasan dan ilustrasi yang berhubungan dengan perayaan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan peralatan sembahan adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, jelasnya, dekorasi serta hiasan premis juga tidak membabitkan paparan SPHM serta imej Logo Halal SPHM.

“Ia selaras dengan keputusan telah dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2023, bahawa tiada larangan terhadap pemegang SPHM untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Zulkifli, Keputusan JAKIM itu terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai SPHM.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa sifat saling menghormati kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia adalah sebahagian daripada identiti masyarakat majmuk di negara ini.

Justeru, ujarnya, pihak industri digalakkan untuk terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum.

Menurutnya, pihak hotel dan premis makanan yang memiliki SPHM juga dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa pensijilan halal berkaitan, bagi mendapatkan penjelasan serta panduan tepat dari semasa ke semasa demi memastikan pematuhan berterusan kepada piawaian halal negara.

Kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam negeri bersama JAKIM serta pemain industry, jelasnya, amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah, di samping sentiasa mengambil kira kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat keseluruhannya.

“Pendekatan itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia, di samping memastikan keharmonian antara agama dan budaya terus diperkukuh,” kata Zulkifli lagi.

BACA JUGA Menteri Indonesia minta maaf kepada Malaysia isu bantuan AS$60,000