Ini cara Hannah mulakannya 3 tahun lalu dan terbukti berjaya…

Hannah Yeoh menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada atlet kebangsaan ketika menyempurnakan tugasan terakhirnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hujung minggu lalu.

Menerusi satu catatan hari ini, Hannah mengimbas kembali detik awal amanahnya tiga tahun lalu, termasuk sesi town hall pertama bersama atlet-atlet negara di Bukit Jalil.

Ahli Parlimen Segambut berkenaan menyifatkannya sebagai titik permulaan komitmennya terhadap kebajikan golongan atlet.

Menurutnya, pertemuan tersebut berlangsung tanpa kehadiran pegawai kementerian dan tanpa protokol rasmi, sekali gus memberi ruang kepada atlet untuk bersuara secara bebas, jujur dan terbuka mengenai cabaran yang dihadapi.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk peluang pertandingan yang terhad, elaun makan di luar negara yang tidak mencukupi, ketiadaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta kesukaran mendapatkan pinjaman kenderaan dan perumahan.

Susulan itu, Hannah yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau menggerakkan pegawai KBS untuk meneliti setiap aduan bagi mencari penyelesaian berkesan, berteraskan kepercayaan bahawa atlet yang dijaga kebajikannya akan mampu menghasilkan prestasi yang lebih cemerlang.

“Kerajaan memperkenalkan pelbagai geran bagi membantu mengatasi isu-isu tersebut, termasuk memperkukuhkan perlindungan sosial atlet serta menilai semula gaji jurulatih,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri emosi atlet, daripada kegembiraan berdiri di podium kemenangan hingga kekecewaan mereka yang terus berjuang di belakang tabir sebagai atlet simpanan.

“Kini, ketika tugas saya sebagai Menteri Belia dan Sukan sampai ke penghujungnya, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada mereka di atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan untuk saya berkhidmat,” kata Hannah lagi.

BACA JUGA Gambar warden ustaz merotan tersebar, polis sahkan kejadian di Kedah