Jaga taikun atau 240,000 pesawah? Naikkan harga beras import macam Proton
Oleh ZAMIR GHAZALI
Hari ini dilaporkan Menteri Pertanian, kadar belian Beras Putih Tempatan (BPT) masih rendah sekitar 10 hingga 15 peratus.
Saya masih ingat, ketika mana menteri letakkan RM150 juta untuk pengeluaran 4 juta kampit BPT; dua bulan kemudian kementerian terpaksa lancarkan kempen Beli Beras Tempatan. Harga BPT masih kekal RM26 sekampit hari ini.
Inilah dilema besar sebenarnya mengapa amat berat untuk kerajaan menaikkan harga lantai padi ke paras RM1,800 sebagaimana tuntutan pesawah. Kalau boleh, ingin saja dinaikkan harga ke paras RM2,000 semetrik tan.
Kalau boleh, mahu saja harga beras tempatan diapungkan dan juallah sebebasnya dengan harga apa pun agar pesawah lebih untung dan gembira.
Namun hakikatnya, rakyat beli atau tidak beras tempatan?
Fakta telah menunjukkan kepada kita, tatkala harga beras import telah merapat turun menghampiri BPT yang berharga RM26 sekampit; nyata pengguna dalam negara kita membeli beras import.
Memanglah ada beli beras tempatan, tetapi kadar belian amat rendah. Terbukti dalam laporan kali ini iaitu 10 hingga 15 peratus.
Jangan dibuat alasan lagi kononnya beras tempatan hilang. Beras tempatan tak jumpa. Ini mengarut.
Tekak manusia
Sukar untuk kita salahkan pengguna. Tidak mungkin untuk kita mahu sebut rakyat Malaysia tidak patriotik. Tidak mahu sokong dan beli beras tempatan.
Terima hakikat tekak manusia tidak sama. Ada yang suka beras wangi siam, ada yang suka beras Bashmati.
Ketika mana harga beras import sudah boleh dibeli dengan harga RM33 sekampit, sebahagian besar pengguna kita sudah beralih daripada makan beras tempatan kepada beras import.
Maka bagaimana kerajaan ingin memastikan rakyat beli juga beras tempatan? Satu-satunya cara ialah masuk pasaran dengan harga murah.
Kerajaan subsidikan RM6 sekampit untuk rakyat beli. Sebab jika diikutkan, harga kos untuk beras tempatan sampai kepada pengguna ialah sekitar RM32 sekampit.
Soalnya, mampu bersaing atau tidak dengan harga beras import RM34 hingga 36 sekampit.
Jika harga murah RM26 pun kadar belian pengguna rendah (10 hingga 15 peratus), apa jaminan jika harga tempatan diapungkan dan rakyat akan beli?
Tidak perlu sehandal Tan Sri Syed Mokhtar berniaga pun untuk memahami asas ‘supply-demand’ yang mudah ini.
Tanggung subsidi
Lalu, apa cara untuk bantu pesawah dengan memastikan rakyat beli lebih banyak beras tempatan? Turunkan lagi harga syiling beras kepada RM20 sekampit? Itukah caranya?
Berapa banyak lagi kerajaan perlu tanggung subsidi? Pesawah mahu beras dibeli dengan harga lebih tinggi. Pengguna harga RM26 sekampit pun tidak mahu beli. Terkepit kerajaan di situ.
Jalan jangka panjang dan tuntas sebenarnya masing-masing sudah nampak, sebab terbukti ia benar ketika krisis harga beras import naik yang lepas.
Ketika mana harga beras dalam pasaran melambung kepada RM45 sekampit, berpusu-pusulah pengguna menyerbu masuk membeli beras tempatan. Sebab ingin cari yang murah. Bukan sebab patriotik.
Jadi, jalannya ialah tetapkan saja harga lantai jualan beras import RM40 sekampit. Tidak boleh kurang daripada itu.
Letak harga RM45 sekampit lagi bagus. Dengan itu barulah boleh harga beras tempatan diapungkan macam pesawah mahukan.
Mudah nak faham sebagaimana kita buat Proton dulu. Bagaimana kita nak pastikan rakyat beli kereta tempatan? Bukankah kita cukaikan sekali ganda harga kereta import supaya apabila harga kereta import mahal, maka barulah rakyat beli Proton.
Agak-agak kalau beza kereta Proton baru dengan Honda atau Toyota hanya sekitar RM5,000 hingga RM10,000 dalam kelas yang sama, rakyat beli atau tidak Proton? Jujurlah jawab. Jangan membohong dan sembang kencang.
Oh ya, jika kita sudah tahu bahawa ada cara untuk menaikkan harga beras import supaya rakyat lebih ramai beli beras tempatan sekaligus pesawah pun senyum riang, maka mengapa tidak dibuat?
Bukankah PMX dan Menteri sudah ada kuasa, buatlah keputusan macam Proton tu.
Di sinilah datangnya isu siapa pemilik monopoli import beras dan sambung konsesi 10 tahun.
Jika harga beras import kerajaan kawal supaya tinggi dan pengguna masuk membeli beras tempatan, maka siapakah yang akan rugi?
Pastilah pihak yang memiliki monopoli import beras bukan? Takkan pesawah pula yang rugi jika pengguna beramai-ramai beli beras tempatan tatkala harga beras import tinggi.
Apabila pesawah untung, pastilah mereka makin bersungguh menanam, luas sawah semakin besar dan SSL negara makin meningkat. Negara lebih selamat. Makanan makin berdaulat.
Kita nak jaga seorang taikun kaya atau ingin jaga 240,000 pesawah miskin di luar sana berpanas berhujan memerah kudrat yang makin tua?
Soalan itu, rakyat Melayu khususnya tanyalah Tan Sri Mahiaddin dan Ronald Kiandee ketika mana mereka sambung konsesi monopoli beras import dahulu.
Sambil-sambil itu boleh tanyakan juga, mengapa murah hati benar sumbangan politik RM200 juta dari sang taikun ke dalam akaun parti Melayu yang satu itu, seusai kontrak monopoli disambung lagi.
Tanya saja pun, takkan itu nak marah.
*ZAMIR GHAZALI merupakan Pengerusi Biro Tani AMANAH Nasional.
BACA JUGA IMF iktiraf daya tahan ekonomi Malaysia, cerminan dasar kewangan berhemat