Jagung bijian kini jadi agenda nasional, lima negeri utama ini dapat peruntukan

Kerajaan meletakkan pembangunan industri jagung bijian sebagai agenda nasional strategik dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan ternakan serta menjamin keterjaminan makanan negara.

Ia selaras dengan keperluan industri ternakan yang bernilai tinggi dan semakin berkembang.

Penegasan tersebut terkandung dalam ucaptama dasar bertajuk ‘Dasar, Polisi dan Strategi Kerajaan dalam Memperkasa Industri Jagung Bijian Negara’ yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jazman Azi Jamalludin.

Dalam Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan 2025 di Hotel Raia & Convention Centre, Kedah itu, beliau berkata, jagung bijian merupakan komponen kritikal dalam industri makanan ternakan.

Ia menyumbang antara 55 hingga 75 peratus kos penternakan sekali gus memberi kesan langsung terhadap kos pengeluaran ayam, telur, khinzir serta lembu dan kerbau.

Pada 2024, nilai industri ternakan negara dianggarkan mencecah RM23.6 bilion, menjadikan kebergantungan kepada import jagung bijian satu risiko besar kepada kestabilan harga dan daya saing industri tempatan.

Bagi menangani cabaran itu, jelasnya, kerajaan telah memperkukuh sokongan pelaksanaan melalui pendekatan tata kelola “co-creation”.

Antaranya, penubuhan Jawatankuasa Industri Jagung Bijian Negara (NGCIC) yang berperanan menyelaras dasar, pemantauan serta penyelesaian isu merentasi rantaian nilai industri.

Pendekatan tersebut melibatkan kerjasama erat antara kementerian, jabatan, agensi, kerajaan negeri serta pemain industri bagi memastikan dasar yang digubal dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat lapangan.

Kuantiti hasil

Menurut Jazman, dalam aspek infrastruktur, kerajaan turut menumpukan pemerkasaan mekanisasi ladang dan penggunaan ‘mobile dryer’ bagi meningkatkan kecekapan penuaian serta kualiti hasil.

Anggaran peruntukan sekitar RM12 juta bagi setiap zon atau subzon diperlukan untuk menyediakan set mekanisasi lengkap melibatkan negeri-negeri utama pengeluaran seperti Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Selari dengan itu, beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM99.7 juta bagi pemerkasaan asas kawasan pengeluaran dan infrastruktur industri jagung bijian.

Peruntukan tersebut meliputi sokongan kepada projek berskala kecil, sederhana dan besar melalui kaedah reimbursement, geran padanan mekanisasi serta pembangunan pusat pengeringan dan penyimpanan.

Beliau juga menggariskan perancangan pembangunan industri jagung bijian bagi tempoh 15 tahun sehingga 2040.

Pembangunan itu merangkumi fasa pemerkasaan asas, pengembangan berskala, serta pemantapan daya saing global secara lestari.

Antara sasaran utama ialah pengurangan 30 peratus kebergantungan import jagung bijian menjelang tahun 2040 sekali gus mengukuhkan kemandirian bekalan domestik.

Selain itu, kata Jazman, kerajaan pada masa ini berada di peringkat akhir memuktamadkan Dasar Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara.

Dasar tersebut bersifat menyeluruh, melibatkan pewartaan kawasan penanaman, pembangunan kluster, sokongan teknikal ladang, jaminan pasaran, pemantauan kualiti hasil serta penggunaan benih berproduktiviti tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan industri jagung bijian negara bergantung kepada komitmen berterusan, pelaksanaan berdisiplin serta kerjasama erat antara kerajaan dan industri agar sektor itu dapat berkembang secara mampan dan menyumbang secara signifikan kepada agenda keterjaminan makanan negara.

BACA JUGA IMF iktiraf daya tahan ekonomi Malaysia, cerminan dasar kewangan berhemat