Anak Bung Moktar penuhi syarat sebagai calon BN Kinabatangan

Ketua Umno Sabah Jafry Ariffin mengesahkan Ketua Pemuda Umno Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil kawasan parlimen Kinabatangan memandangkan Naim telah memenuhi tiga prasyarat.

“(Mohd Naim Kurniawan) dipilih melalui pertimbangan institusi parti, disokong jentera akar umbi dan membawa nilai kesinambungan perjuangan yang telah diterjemahkan melalui khidmat, bukan simbolik semata-mata.

“PRK Kinabatangan bukan ujian individu, tetapi ujian terhadap kestabilan institusi politik, kepercayaan rakyat dan keupayaan BN mengekalkan mandat pembangunan di kawasan yang strategik dan mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan Naim sebagai calon.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya, Bung Moktar, meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

Bung Moktar ialah bapa Naim.

‎Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan tahun depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

BACA JUGA: YB Pas Sabah gembira sambut Krismas pertamanya