Inklusi OKU isu hak asasi, bukan sekadar kebajikan – YB Anfaal

FOTO BERITA: Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi dasar, program dan inovasi yang komprehensif, selaras dengan aspirasi membina sebuah masyarakat MADANI yang inklusif, adil dan berperikemanusiaan. Perkara itu ditegaskan oleh Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, YB Anfaal Saari, ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Fakulti Perubatan UiTM Cawangan Selangor, Kampus Selayang, Menurut beliau, sambutan Hari OKU bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap hak, potensi dan sumbangan bermakna komuniti OKU, di samping menjadi seruan tindakan kepada seluruh lapisan masyarakat untuk melaksanakan dasar yang berani, pelaksanaan yang konsisten serta komitmen yang tulus. (Gambar: Pejabat EXCO)

YB Anfaal menjelaskan bahawa walaupun hal ehwal OKU berada di bawah Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan peranan Kerajaan Negeri, Selangor tetap tampil sebagai peneraju dengan memperkenalkan pelbagai dasar, modul panduan dan program inovatif bagi memperkasa komuniti OKU. “Selangor merupakan negeri pertama yang menerbitkan dokumen dasar dan program pemberdayaan OKU secara menyeluruh. Ini selari dengan tanggungjawab moral dan sosial kita untuk menjaga kebajikan golongan yang memerlukan sokongan khas,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai kejayaan telah dicapai menerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) sejak penubuhannya pada 2018, termasuk pelancaran Program Inklusif Inovasi MTOS 2026 (MTOS-SIP 2026) yang memberi platform kepada NGO, akademik dan pakar untuk mencetus idea inovatif dalam pembangunan dasar OKU.

Mengulas konteks global, YB Anfaal menegaskan bahawa komuniti OKU bukan objek kebajikan, sebaliknya subjek hak asasi manusia, sejajar dengan pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut beliau, matlamat pembangunan mampan (SDGs) tidak akan tercapai sekiranya komuniti OKU terus dipinggirkan. “Inklusi OKU bukan isu kebajikan semata-mata, tetapi melibatkan hak asasi manusia, penyertaan ekonomi dan keadilan sosial. Halangan sebenar bukan terletak pada individu OKU, tetapi pada sistem yang gagal memahami kepelbagaian manusia,” ujarnya. Dalam ucapannya, beliau turut menyeru para pendidik agar terus meningkatkan kemahiran melalui upskilling bagi memastikan pendidikan khas lebih bermakna dan berkesan, selain menghargai peranan ibu bapa serta penjaga sebagai tonggak utama dalam membentuk masa depan anak-anak istimewa.

Sambutan Hari Antarabangsa Bagi Orang-Orang Kurang Upaya 2025 yang diraikan pada 3 Disember depan membawa tema “Menyinari Harapan Insan Istimewa”, sekali gus mengajak seluruh masyarakat menghadirkan nilai keMANISan dalam realiti kehidupan komuniti OKU. Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 yang disempurnakan oleh YB Anfaal Saari, menandakan permulaan rangkaian program dan inisiatif strategik bagi memperkasa komuniti insan istimewa di Selangor.