Ratusan penyokong Najib berkumpul menjelang keputusan Adendum

Perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur masih lagi dipenuhi penyokong Datuk Seri Najib Razak sejak jam 7 pagi tadi, menjelang keputusan sama ada bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki hukumannya di penjara atau di rumah.

Penyokong hadir dengan mengenakan baju t-shirt hitam ‘Justice 4 Najib’, selain ada yang membawa keratan kertas kecil dengan gambar Najib dan ayat “bossku”.

Suasana di luar perkarangan juga riuh dengan laungan ‘bebas bossku’ dan ‘Lawan tetap lawan’, sebagai tanda solidariti.

Terdahulu Najib tiba di mahkamah pada jam 8.40 pagi tadi.

Isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga kelihatan masuk ke kompleks mahkamah.

Pagi ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan titah adendum yang didakwa diperkenan pada Januari tahun lalu.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB

BACA JUGA Mesyuarat Khas Menteri Luar Asean bincang isu Kemboja-Thailand hari ini