Dari FDI hingga dagangan, rizab antarabangsa Malaysia terus mengukuh
Oleh NAZRI HAMDAN
Bank Negara Malaysia (BNM) tambah AS$200 juta menjadikan rizab antarabangsa AS$124.3 bilion setakat 15 Disember 2025, paras tertinggi dalam 11 tahun (sejak 2014).
Kenaikan ini nampak kecil dari segi nominal iaitu lebih kurang 0.16 peratus, tetapi signifikan kerana berlaku ketika dolar AS masih kuat dan aliran modal global tak menentu.
Rizab ini kini mampu menampung 4.8 bulan import dan meliputi 0.9 kali hutang luar jangka pendek, satu penanda aras kukuh dari sudut kecairan luaran.
Tambahan AS$200 juta boleh datang daripada gabungan beberapa aliran: contohnya pelaburan langsung asing (FDI) bersih AS$120 juta (pelaburan sekor elektrik dan elektronik (E&E), data center), lebihan dagangan AS$80 juta dalam tempoh dua minggu.
Dari sudut komposisi, rizab mata wang asing AS$109.9 bilion menyumbang kira-kira 88% daripada jumlah keseluruhan.
Hak Pengeluaran Khas atau Special Drawing Rights berjumlah AS$5.9 bilion manakala emas AS$4.8 bilion, dan aset rizab lain AS$2.4 bilion kekal stabil.
Ini menunjukkan profil rizab Malaysia masih konservatif dan cair, bukan bergantung pada kenaikan harga emas semata-mata.
Kejutan luaran
Dengan emas hanya sekitar 3.9% daripada rizab, risiko turun naik harga komoditi terhadap rizab keseluruhan adalah rendah.
Mengapa rizab ni penting? Andaikan berlaku kejutan luaran contohnya aliran keluar portfolio AS5 bilion dalam sebulan.
Dengan rizab AS$124.3 bilion, BNM masih ada ruang menyerap kejutan itu (sekitar 4% daripada rizab) tanpa menjejaskan penampan import.
Malah, liputan 0.9 kali hutang luar jangka pendek menunjukkan kebanyakan hutang jangka pendek dibiayai oleh aset luar sektor swasta sendiri, bukan menekan rizab negara.
Tambahan AS$200 juta ini bukan sekadar angka, tetapi isyarat kestabilan luaran Malaysia yang semakin mengukuh.
BACA JUGA Menyedihkan 6 beranak di negeri ini tinggal 3 hari dalam kereta