KPDN Selangor ambil tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan Skim Harga Maksimum Krismas 2025

FOTO BERITA: Walkabout, Pemeriksaan dan Tinjauan Penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bersama Tuan Mohd Zuhairi Mat Radey Pengarah KPDN Selangor di Jaya Grocer ROCER, Nu Empire Shopping Gallery, Jalan SS 16/1, SS 16, Subang Jaya Selangor. 23hb Disember 2025 (Selasa)

Pada 20 Disember 2025, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang berkuat kuasa selama lima (5) hari, bermula 23 hingga 27 Disember 2025, merangkumi dua (2) hari sebelum perayaan, satu (1) hari semasa perayaan dan dua (2) hari selepas perayaan.

Hari ini merupakan hari pertama penguatkuasaan SHMMP Krismas 2025 dan satu pemeriksaan pematuhan telah dijalankan di Pasaraya Jaya Grocer, NU Empire Shopping Gallery, Subang Jaya, Selangor.

Pemeriksaan ini telah diketuai oleh Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey, Pengarah KPDN Selangor, bersama 15 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor di bawah seliaan Tuan Mohd Hanizam bin Kechek, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor.
Sebanyak sembilan (9) jenis barangan di bawah Skim telah diperiksa pematuhannya mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing). Antara lain lobak merah (China), tomato, lada benggala hijau, cili merah, ubi kentang import (China), bawang merah besar dan bawang kuning besar

Penguatkuasaan SHMMP ini merupakan satu intervensi Kerajaan yang relevan bagi memastikan tidak berlaku pergerakan harga yang tidak terkawal sepanjang musim perayaan. Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 kali ini adalah bersesuaian dengan keadaan semasa, dengan mengambil kira keseimbangan kepentingan pengguna dan peniaga agar pengguna dapat menikmati harga berpatutan, manakala peniaga pula tidak terbeban dengan tempoh penguatkuasaan yang terlalu panjang.

KPDN Selangor bersama enam (6) Pejabat KPDN Cawangan, iaitu Kajang, Sepang, Petaling Jaya, Gombak, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor, akan terus konsisten menjalankan pemeriksaan pematuhan SHMMP Krismas 2025 sepanjang tempoh Skim berkuat kuasa.

Antara fokus utama pemeriksaan adalah pematuhan penggunaan tanda harga khas berwarna merah jambu (pink tag) yang wajib dipamerkan di peringkat runcit dan borong bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang terlibat di bawah Skim ini. Selain itu, pemeriksaan turut meliputi pematuhan penentusahan alat timbang dan sukat, pematuhan harga maksimum runcit serta keberadaan bekalan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peruntukan Skim ini. Penalti yang boleh dikenakan adalah seperti berikut, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum. Kesalahan individu: denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali, atau kompaun sehingga RM50,000. Untuk syarikat denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu, bagi individu: Denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000. Bagi syarikat pula denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

Hasil pemeriksaan pada hari ini mendapati premis yang diperiksa telah memberikan kerjasama yang baik dan berada pada tahap pematuhan yang memuaskan. Malah, kebanyakan barangan di bawah Skim dijual pada harga runcit yang lebih rendah daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.

KPDN Selangor percaya prestasi pematuhan ini dapat dicontohi oleh peniaga lain di seluruh Selangor demi manfaat bersama kepada pengguna dan peniaga. Dari aspek bekalan, prestasi keberadaan bekalan di Selangor adalah terkawal dan pemeriksaan bekalan terus giat dijalankan bagi membolehkan tindakan segera dan berfokus diambil sekiranya berlaku gangguan bekalan di mana-mana lokaliti.

Bagi rekod, pencapaian penguatkuasaan SHMMP dari tahun 2023 hingga kini menunjukkan sebanyak 5,682 premis telah diperiksa dengan 224 kes direkodkan melibatkan kesalahan seperti gagal menggunakan tanda harga khas (pink tag), menjual melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga.

Manakala bagi SHMMP sepanjang tahun 2025 sempena perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa dan Deepavali, daripada 1,951 premis yang diperiksa di Selangor, sebanyak 222 premis telah dikenakan tindakan.

KPDN Selangor akan terus konsisten memantau aktiviti jual beli di seluruh negeri dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan sebagai usaha mewujudkan ekosistem kawal selia kendiri (self-regulatory) dalam kalangan peniaga demi kepentingan pengguna dan peniaga. Selain itu, KPDN Selangor turut mempertingkatkan kehadiran (omnipresence) di lapangan, termasuk pemeriksaan premis terbuka melalui rondaan bermotosikal.