Menyedihkan 6 beranak di negeri ini rupanya dah 3 hari tinggal dalam kereta
Enam beranak termasuk seorang bayi berusia 12 bulan yang terpaksa tinggal di dalam kereta selama tiga hari selepas hilang tempat tinggal akhirnya diselamatkan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Mohd Fared Mohd Khalid, pasangan suami isteri berusia 30-an terpaksa membuat keputusan itu selepas diminta keluar daripada rumah sewa di Kampung Ubi di Johor Bahru.
Beliau berkata, mereka bersama empat cahaya mata berusia antara 12 bulan hingga 14 tahun ditemukan berhenti di bawah jambatan di perkampungan sama sebelum diselamatkan.
Katanya, maklumat berkaitan keluarga berkenaan diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.
Susulan itu, MAINJ Daerah Johor Bahru diarahkan untuk bertindak segera bagi menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga terbabit.
“Amin Baitulmal Johor Bahru akhirnya menemukan keluarga berkenaan semalam dan memujuk mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat dan selesa.
“Ketua keluarga berkenaan yang berasal dari Batu Pahat masih bekerja di sebuah syarikat di Senai manakala isterinya berasal dari Kedah adalah suri rumah.
“Rupa-rupanya masih ada dalam kalangan kita yang diuji dengan rintangan dan kepayahan, kitalah yang wajib membantu mereka,” katanya, dipetik BH.
Hasil kerjasama
Mohd Fared berkata, malam tadi, keluarga itu ditempatkan terlebih dahulu di sebuah penginapan sementara sebelum dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana 1 atau Tiram.
Penempatan itu, ujarnya, diusahakan hasil kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Dalam perkembangan sama, katanya, Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Pembangunan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail akan memantau kebajikan keluarga berkenaan.
Seorang anak pasangan itu dilaporkan sebagai orang kurang upaya (OKU) yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“MAIJ akan membuat semakan lanjut terhadap keperluan keluarga itu sebelum menyalurkan bantuan zakat yang bersesuaian.
“Jangan biarkan keluarga dan jiran tetangga kita berada dalam kesusahan tanpa bantuan, kita seharusnya peka dengan kehadiran mereka yang bernasib kurang baik,” kata Mohd Fared lagi.
BACA JUGA Fahami kes Najib Razak dengan betul