Semakan kehakiman Najib: Jangan dipolitikkan, jangan dirayakan

Keputusan mahkamah berhubung semakan kehakiman yang membuka ruang kepada pertimbangan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dipolemikkan, apatah lagi diraikan seolah-olah ia suatu kemenangan politik atau moral. 

Dalam sebuah negara yang mendakwa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, keputusan mahkamah mesti dihormati sebagai proses perundangan bukan dijadikan bahan sorak, sindiran atau modal murahan politik kepartian.

Lebih mendukacitakan, terdapat kenyataan daripada beberapa Ahli Parlimen DAP terutama Yeo Bee Yin yang dilihat seolah-olah “meraikan” perkembangan ini. 

Sikap sebegini bukan sahaja tidak sensitif terhadap luka besar yang masih dirasai rakyat akibat skandal 1MDB, malah boleh dianggap kurang ajar terhadap prinsip keadilan yang selama ini dilaungkan. 

Najib Razak bukan banduan biasa; beliau ialah bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. 

Maka apa jua perkembangan perundangan melibatkan dirinya mesti ditanggapi dengan penuh hemah dan rasa tanggungjawab, bukan dengan nada kemenangan politik.

Namun polemik tidak berhenti di situ. Kenyataan pimpinan Pemuda UMNO, khususnya Dr Akmal Saleh, yang memberikan gambaran seolah-olah pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini mempunyai agenda besar untuk “membebaskan Najib Razak”, adalah tidak bertanggungjawab dan merosakkan asas kepercayaan awam terhadap kerajaan. 

Naratif sebegini bukan sahaja menyelewengkan realiti politik, malah mencemarkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap prinsip reformasi institusi, keadilan dan tatakelola baik.

Apakah benar kerajaan dibentuk semata-mata untuk menyelamatkan seorang individu?

Jika inilah gambaran yang disebarkan oleh pimpinan muda UMNO sendiri, maka ia bukan sahaja mencederakan imej Perdana Menteri, malah mengkhianati mandat rakyat yang menuntut kestabilan, reformasi dan integriti. 

Mendesak Perdana Menteri supaya “membebaskan Najib” adalah satu tindakan yang berbahaya kepada prinsip pemisahan kuasa, serta bercanggah dengan semangat reformasi undang-undang yang kononnya diperjuangkan oleh semua pihak.

Inikah negara yang mahu kita bina? Sebuah negara di mana tekanan politik menentukan nasib kehakiman? Sebuah kerajaan yang diheret untuk tunduk kepada jeritan kepentingan sempit, bukannya tunduk kepada undang-undang?

Jika inilah wajah kepimpinan masa hadapan sama ada daripada UMNO yang diwakili oleh suara lantang seperti Dr Akmal, atau daripada DAP yang diwakili oleh tokoh seperti Yeo Bee Yin yang gagal menunjukkan kepekaan terhadap sentimen keadilan awam, maka negara ini sedang melangkah ke arah kehancuran nilai. 

Negara tidak akan runtuh kerana kekurangan sumber, tetapi kerana keruntuhan prinsip dan akhlak politik.

Dalam masa yang sama, Pas pula terus konsisten dalam ketidakkonsistennya menunggang isu demi isu, sambil melupakan hakikat bahawa ketika mereka memegang jawatan Menteri Undang-Undang, tiada sebarang usaha serius dilakukan untuk menghentikan pendakwaan atau membetulkan apa yang kini mereka dakwa sebagai kezaliman. 

Keberanian Pas muncul hanya apabila berada di luar kuasa; ketika berkuasa, prinsip lenyap ditelan realiti.

Lebih ironis, kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang mendakwa kononnya “titah Agong diperlakukan tidak wajar” dan bahawa “rakyat Pahang terhina”, memperlihatkan kemuncak hipokrasi politik. 

Ketika Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU, titah tersebut dipersoal dan dipolitikkan oleh kelompok yang sama. 

Mengapa ketika itu tiada pula laungan mempertahankan maruah Raja dan rakyat?

Prinsip tidak boleh dipilih mengikut musim. Institusi Raja, mahkamah dan Perlembagaan bukan alat politik sementara.

Hakikat yang mesti ditegaskan dengan jelas ialah ini: 

Datuk Seri Najib Razak mesti terus diadili mengikut lunas undang-undang, tanpa gangguan politik dan tanpa campur tangan kuasa eksekutif. 

Pada masa yang sama, beliau juga mempunyai hak perlembagaan untuk mendapatkan pengampunan penuh melalui saluran yang sah. 

Jasa-jasa beliau sebagai Perdana Menteri—termasuk sumbangan kepada pembangunan negara—boleh dan wajar dipertimbangkan dalam konteks proses pengampunan, bukan dengan menekan mahkamah atau memperlekehkan prinsip keadilan.

Keadilan tidak bermaksud dendam, tetapi ia juga tidak boleh tunduk kepada tekanan politik. 

Menghukum tanpa keadilan adalah zalim, tetapi membebaskan tanpa prinsip adalah pengkhianatan kepada negara.

Rakyat Malaysia hari ini tidak menuntut sorakan, tidak menuntut polemik, dan tidak mahu sandiwara politik. 

Mereka menuntut sebuah negara yang berfungsi—di mana undang-undang dihormati, institusi diperkukuh, dan kepimpinan berani berkata tidak kepada desakan yang merosakkan asas negara.

Najib Razak akan terus diadili oleh undang-undang dan sejarah. Tetapi yang sedang diadili oleh rakyat hari ini ialah kejujuran, kematangan dan tanggungjawab moral ahli politik.

Dan dalam pengadilan itu, terlalu ramai yang sedang gagal.

Penulis, Dr ShahNor merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan