Henti pergolakan dalaman, elak percaturan kuasa jejas mandat rakyat
Perikatan Nasional (PN) di Perlis diingatkan supaya menghentikan pergolakan dalaman sebaliknya mengekalkan kerajaan negeri sedia ada sehingga tamat penggal.
Ketua Angkatan Muda Harapan Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, berkata pihaknya mengambil pendirian tegas, jelas dan bertanggungjawab berhubung perkembangan politik semasa di negeri itu.
“PH menegaskan kerajaan negeri yang terbentuk pada hari ini adalah hasil mandat jelas rakyat melalui proses demokrasi yang sah.
“Jadi, mandat besar diberikan rakyat ini wajib dihormati dan dipelihara, bukannya ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri,” katanya.
Kestabilan pentadbiran
Menerusi kenyataan hari ini, Ahmad Fadhzil berkata, pendirian tersebut dibuat demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, menjaga keharmonian institusi raja dan mempertahankan kepentingan serta kebajikan rakyat Perlis keseluruhannya.
“PH Perlis akan terus berdiri bersama kerajaan negeri sedia ada, institusi raja dan kepentingan rakyat, demi memastikan Perlis ditadbir dengan aman, stabil serta bermaruah sehingga tamat penggal pentadbiran.
“Kestabilan kerajaan adalah keperluan utama bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis yang bukan saja untuk memastikan kelancaran pentadbiran, malah bagi menjimatkan kewangan kerajaan, mengelak pembaziran akibat ketidaktentuan politik serta tidak mengguris mandat rakyat yang diberikan secara sah.
“Kita berpandangan sebarang pergolakan politik dalaman mesti dihentikan segera, malah pertelingkahan terbuka hanya melemahkan pentadbiran, mencalarkan imej negeri dan mengganggu tumpuan kerajaan dalam mengurus hal asas rakyat,” kata beliau lagi.
BACA JUGA ‘Tiada faedah jadi pembangkang walau satu sen pun’