Hentikan perbalahan Umno-DAP, kata Pemuda Amanah

Perbalahan Umno – DAP perlu dihentikan kerana ia tidak bermanfaat kepada negara, kata timbalan ketua pemuda AMANAH Pulau Pinang, Hamdi Md Noor.

“Perbalahan DAP dan Umno berkait keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa hari lepas berhubung titah adendum wajar dihentikan. Sebagai negara hukum, setiap pihak perlu menghormati keputusan mahkamah walaupun keputusannya tidak mungkin tidak memuaskan hati kita.

“Perbalahan yang tidak berkesudahan tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara.

“Sekalipun kita bergembira atau tidak dengan keputusan tersebut, reaksi berlebihan hanya mengundang perseteruan yang tiada penghujung dan suasana tidak harmoni dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Perbalahan di antara Umno dan DAP tercetus apabila setiausaha publisiti DAP Yeo Bee Yin menyatakan keputusan mahkamah dalam kes mantan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak adalah satu sebab untuk diraikan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan agar titah Adendum dalam kes Najib dilaksanakan. Adendum tersebut mengesyorkan agar Najib menjalani baki tempoh pemenjaraan di rumah.

Susulan itu pimpinan Umno dan DAP bertelagah sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar terpaksa mengingatkan semua pihak agar akur dengan keputusan mahkamah.

Hamdi turut mengingatkan Umno dan DAP perkara yang patut diberi tumpuan sekarang.

“Fokus negara kini adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan negara, meningkatkan pelaburan dan pembangunan untuk negara.

“Dengan semangat Malaysia Madani, kita berharap agar keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi dan nikmati ini akan terus dikekalkan.”

BACA JUGA: PM Anwar seru hormati keputusan mahkamah isu Titah Adendum