Kes tular video bertudung minum arak: 2 individu ditahan
Dua individu ditahan di Subang Jaya petang tadi, bagi membantu siasatan susulan tular rakaman video memaparkan seorang lelaki memakai tudung meneguk minuman keras di sebuah salon.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, kedua-duanya membabitkan seorang lelaki serta wanita warga tempatan berumur 22 dan 24 tahun.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan berhubung rakaman video tular itu dengan siasatan dijalankan oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) (D5) JSJ.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Selain itu, katanya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Jika sabit kesalahan, jelasnya, boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, hasil siasatan awal turut mendapati individu yang memakai tudung dalam rakaman video itu adalah seorang lelaki.
Kumar juga berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menghina atau mempermainkan sensitiviti agama, sekali gus menimbulkan suasana tidak harmoni.
Dalam masa sama, beliau berkata, orang ramai turut digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah, serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
BACA JUGA Harga runcit RON95 tanpa subsidi turun enam sen, RON97 turun lapan sen